Pesakit maut jatuh dari tingkat tujuh HUSM

Abdul Rahim Daud
Abdul Rahim Daud
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pesakit di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh bangunan hospital terbabit pagi tadi.

Mangsa seorang lelaki berusia 21 tahun didaftarkan masuk ke wad hospital berkenaan jam 3 pagi sebelum kejadian berlaku pada jam 4.50 pagi hari sama.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kejadian itu disedari seorang pengawal keselamatan yang bertugas apabila terdengar bunyi dentuman di kawasan parkir kakitangan hospital pada jam 4.50 pagi.

Menurutnya, pengawal yang bertugas di lobi utama hospital telah membuat pemeriksaan dan menemui mangsa sedang terbaring serta tidak bergerak.

"Pengawal terbabit bertindak memanggil doktor bertugas sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala dan beberapa bahagian badan yang dapat dilihat secara luaran," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan turut dibuat di sekitar mayat serta katil berdekatan tingkap dan tidak menjumpai kesan yang meragukan atau berkait dengan jenayah.

“Siasatan di wad berkenaan mendapati tidak ada pagar besi di kawasan koridor wad tersebut dan mangsa dipercayai keluar melalui tingkap sebelum terjatuh.

Artikel Berkaitan:

"Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk dibedah siasat dan kes disiasat sebagai kematian mengejut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!