20 PATI tak sempat lari
SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Selangor menggempur restoran, kedai makan dan rumah pekerja warga asing dalam serbuan di sekitar Shah Alam, Subang Jaya, dan Hulu Langat semalam.
Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, serbuan bermula jam 9 malam itu berjaya menahan seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk lima wanita atas pelbagai kesalahan imigresen iaitu tinggal tanpa pas, tiada permit, tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas yang ditetapkan.
Menurutnya, PATI terbabit terdiri daripada tujuh warga Indonesia, India (lapan), Pakistan (dua), Bangladesh (satu) dan Thailand (dua).
"Semasa serbuan, segelintir PATI yang sedang bekerja di kedai makan bertindak cuba melarikan diri, namun cubaan itu tidak berjaya dan telah ditahan.
"Serbuan di rumah pekerja pula mendapati rata-rata PATI sedang nyenyak tidur sebelum menyedari kehadiran anggota penguat kuasa yang memakai kelengkapan mengikut prosedur operasi standard (SOP)," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, kesemua tangkapan berusia antara 20 hingga 51 tahun akan direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Tegasnya, siasatan turut dijalankan bagi mengesan majikan atau pelindung kepada PATI terbabit dan sekiranya terbukti, tindakan undang-undang akan dikenakan termasuk didakwa di mahkamah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!