UMP hasil HDL mampu bunuh Covid-19 dalam tempoh 30 saat

Zularisam menunjukkan bahan HDL, Diaclean Pera Sterilant yang mampu membunuh 99.99 peratus mikroorganisma seperti bakteria, virus, fungi dan protozoa dalam tempoh 30 saat.
Zularisam menunjukkan bahan HDL, Diaclean Pera Sterilant yang mampu membunuh 99.99 peratus mikroorganisma seperti bakteria, virus, fungi dan protozoa dalam tempoh 30 saat.
A
A
A

KUANTAN - Penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya menghasilkan bahan disinfektan tahap tinggi (HDL), Diaclean Pera Sterilant yang mampu membunuh 99.99 peratus mikroorganisma seperti bakteria, virus, fungus dan protozoa.

Ketua penyelidik, Profesor Datuk Dr Zularisam Ab Wahid berkata, produk disinfektan yang mengandungi bahan aktif asid perasetik daripada cuka makanan itu terbukti berkesan selepas diuji di makmal antarabangsa Viroxy Lab.

Menurutnya, berdasarkan laporan satu-satunya makmal berakreditasi di Malaysia yang boleh menjalankan ujian virus EN 14476:2013 itu, Diaclean Pera Sterilant mampu membunuh virus koronavirus (Covid-19) pada kadar 99.99 peratus pada semua masa ujian yang dijalankan iaitu 30 saat, satu minit, dua minit, lima minit dan 30 minit.

“Produk ini juga telah diuji keberkesanannya sebagai anti microb melalui ujian invitro di Makmal Bioserasi Klinikal Healthmedic Research Sdn Bhd dan invivo biocompatibility Test di Makmal Bioserasi Center for Research and Instrumentation Management (CRIM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi,” katanya.

Dr Zularisam berkata, produk inovasi itu bukan sahaja bersifat organik malah mesra pengguna dan tidak mendatangkan kesan negatif terhadap permukaan bahan yang dinyah cemar.

Jelasnya, Pera Sterilant bersifat mesra alam dan akan terhurai semula dalam bentuk gas oksigen, cuka makanan dan air selepas lapan jam digunakan.

“Selain itu, asid perasetik juga merupakan salah satu disinfektan yang telah disenarai berkesan ke atas Covid-19 oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat.

“Produk inovasi yang memenuhi standard ISO 13485-International Quality Management System for Medical Device ini juga bebas alkohol dan aldehyde,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) UMP ini berkata, produk itu telah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (PBPP), Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai alat perubatan pembasmi kuman dan mendapat Pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Produk ini juga memenuhi keperluan dalam Jadual Ketiga Peraturan Peranti Perubatan 2012 oleh TUV SUD Malaysia,”ujarnya.

Tambah beliau, penyelidikan dan penghasilan produk disinfektan itu dimulakan sejak 2008 sebelum dikomersialkan pada 2015 di bawah syarikat UMP Renal Care Sdn. Bhd.

Katanya, Ia telah diguna pakai oleh lebih 50 buah pusat dialisis di Malaysia bagi tujuan pensterilan penapis buah pinggang sintetik serta mesin hemodialisis.

“Aplikasi produk disinfektan ini kemudiannya dikembangkan sebagai bahan semburan nyah cemar permukaan sebagai bahan disinfeksi barangan rumah, ruangan pejabat, sekolah, kilang, kenderaan, buah-buahan, industri pemprosesan makanan dan sanitasi awam,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!