Polis tahan lelaki, rampas dadah RM120,000
IPOH - Polis menahan seorang buruh lelaki serta merampas dadah jenis heroin seberat 9.3 kilogram bernilai RM120,000 berhampiran Medan Ipoh Bestari di sini, Rabu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Asisten Komisioner Lee King Chuan berkata, suspek berusia 36 tahun itu disyaki anggota sindiket pengedaran dadah di bandar raya ini sejak Jun lalu, ditahan pada 12.15 tengah malam.
"Hasil pemeriksaan polis dalam but kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki suspek menemukan dadah itu.
"Hasil maklumat risikan selama sebulan, suspek dipercayai seorang daripada anggota sindiket yang kita masih menyiasat siapakah dalang sindiket berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.
Menurutnya, dadah yang dirampas itu dianggarkan untuk kegunaan 6,200 orang.
"Suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah direman selama seminggu bermula Rabu lalu untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!