Khairuddin puas hati siasatan polis

Mohd Khairuddin ketika ditemui media hari ini.
Mohd Khairuddin ketika ditemui media hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berpuas hati dengan siasatan polis yang dijalankan ke atasnya berhubung kegagalan mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, Julai lalu.

Menurutnya, beliau bersama tiga ahli keluarga lain dipanggil ke Bukit Aman, malam tadi untuk memberi keterangan lebih dua jam bermula 8.45 malam.

"Ya, semalam saya ke Bukit Aman bersama tiga ahli keluarga lain, itu kali pertama kami berempat (dipanggil) ke sana, bukan dua kali seperti diberitakan sesetengah media.

"Dalam tempoh sekitar dua jam itu saya memberi keterangan yang sepatutnya sebagai saksi bagi isu yang dibangkitkan sekarang.

"Saya maklumkan bahawa lawatan ke Turki adalah atas urusan separa rasmi yang antaranya merundingkan projek kerajaan Terengganu yang belum diselesaikan ketika dilantik sebagai menteri dan bakinya melibatkan pertemuan dengan pegawai dan pihak berkepentingan berkaitan projek sawit negara," katanya kepada media hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menyerahkan sepenuhnya kepada polis termasuk kemungkinan kertas siasatan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Sejak dari awal memang saya berpuas hati dengan siasatan kerana itulah saya umumkan permohonan maaf atas kekhilafan dan memulangkan semua gaji sebagai menteri bermula Mei hingga Ogos kepada Tabung Covid-19 (Tabung Bantuan Bencana Negara) atas rasa tanggungjawab.

"Jadi kita tunggulah nanti (kenyataan lanjut) polis, Kementerian Kesihatan juga sudah mengeluarkan kenyataan mereka, bagi saya selesailah walaupun saya ada pandangan saya sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri dikompaun RM1,000 langgar kuarantin

Beliau berkata, siasatan kes itu langsung tidak menjejaskan tumpuan dan tugasnya selaku menteri.

"Biasalah, manusia mana yang tidak buat silap, yang penting saya buat kerja saya seperti biasa.

"Dua hari lepas pun saya dapat permintaan dari Bosnia berkaitan eksport minyak sawit kita dan ia sedang dirundingkan," katanya.

Mohd Khairuddin (tengah) pada Program Jom MPOB di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River hari ini.
Mohd Khairuddin (tengah) pada Program Jom MPOB di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River hari ini.

Mengulas mengenai petisyen dalam talian mendesak beliau meletak jawatan sebagai menteri, Mohd Khairuddin berkata, kesalahan dilakukan itu bukan satu kesalahan yang melibatkan kerja hingga memerlukannya meletak jawatan.

"Itu (petisyen) biasalah ada motif-motif tertentu sampai beratus ribu orang suruh saya letak jawatan. Saya tidak buat salah melibatkan kerja, hanya satu kekhilafan dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan Program Jom MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River di sini.

Di Perak, sebanyak 23 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) disijilkan MPOB melibatkan 9,904 pekebun kecil persendirian dengan keluasan 22,831.74 hektar.

Kerajaan dan MPOB menyediakan khidmat nasihat penanaman sawit dan pemindahan teknologi kepada pekebun kecil di negeri ini dengan menempatkan Pegawai Tunas MPOB di Hilir Perak, Tapah, Seri Iskandar dan Taiping.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!