Parti dan politik orang muda
AGAK menarik juga hasrat bekas Menteri Belia dan Sukan dari Muar yang mahu menubuhkan parti khusus untuk orang muda. Lebih menarik lagi apabila parti itu kelak akan membuka pintunya kepada anak muda dari pelbagai latar belakang pendidikan, pekerjaan dan bersifat berbilang kaum. Sesuatu yang berbeza dengan apa yang pernah beliau perjuangkan ketika berada dalam parti berteraskan Melayu sebelumnya.
Secara peribadi, nampak bagus idea ini. Memang relevan dan sudah tentu ia baik untuk politik negara untuk jangka masa panjang. Lagipun sampai bila ‘politik gerontologi’ terus membelenggu politik negara. Takkan masih mahu ada perdana menteri paling tua di dunia seolah-olah macam tandus benar negara ini dengan pemimpin muda dan berkebolehan.
Maka apa alasan bagi membenarkan cadangan Yang Berhormat Muar itu? Mungkin masing-masing ada alasan tersendiri yang munasabah difikirkan.
Tetapi secara peribadi, dua perkara yang mungkin realistik bagi menyokong perkara itu ialah pertama, fakta bahawa sehingga kini, jumlah pemimpin muda dalam institusi legislatif yang kurang dari 10 peratus berbanding komposisi mereka sebagai pengundi yang besar (dijangka jumlah ini akan lebih membesar dengan pertambahan 7.8 juta pengundi muda bagi pilihan raya akan datang).
Kedua, sistem kepartian yang sedia ada terlalu eksklusif, berstruktur dan monopolistik disebabkan budaya penaungan dan feudalistik yang menebal serta sering menyebelahi status quo dalam sesebuah parti. Sebab itu walaupun ada sayap pemuda atau orang muda dalam parti, teraju utamanya tetap dimonopoli oleh orang lama. Kalau ada pun hanya sebagai ‘cukup syarat’. Lebih parah, golongan ini selalunya akan menekan anak muda yang berbakat bagi menghalang serta mengekang mereka untuk naik ke atas sekali gus menjadi sebahagian daripada hierarki kepimpinan dalam parti.
Lihat sahajalah dalam parti-parti utama yang ada, berapa ramai anak muda yang dinaikkan menjadi pemimpin utama dalam parti. Kalau pun ada, selalunya mereka itu datang dari dinasti politik yang diwariskan secara legasi kepadanya.
Sebutlah mana-mana parti politik, maka itulah yang bakal kita jumpa dalam amalan mereka. Sebab itu kebanyakan parti-parti politik itu menjadi terlalu elitis, pasif dan konservatif. Mereka tiada naratif baharu dan wacana segar yang boleh mengubah landskap politik menjadi terbuka dan partisipatif.
Walaupun begitu, adakah dengan menubuhkan parti orang muda mampu mengangkat politik orang muda? Ini adalah kerana, cadangan yang idealistik ini harus juga melihat kepada realiti dan keadaan semasa. Setakat ini, politik anak muda masih dalam proses pemerkasaan. Malah tidak adil juga kalau hanya melihat politik itu dari perspektif kepartian semata-mata.
Yang jelas politik anak muda tetap berlaku dalam nuansa yang berbeza, tapi masih mampu menekan dan mendesak pemerintah supaya peka dengan permasalahan dan kehendak mereka. Lagipun orientasi mereka kini tidak lagi fokus kepada hal-hal anak muda semata-mata, tetapi sudah melangkaui kepada permasalahan yang bersifat umum dan sejagat.
Bukan mudah untuk menubuhkan parti baharu. Membentuknya sahaja hanya sebahagian daripada perjalanan sesebuah parti. Yang sukar adalah mengekalkan dan menyelenggarakannya. Persoalan dana, kepimpinan, kelestarian dan hala tuju parti menjadi lebih penting selepas itu. Kalau ini gagal ditangani dengan baik dan berkesan, kebarangkalian sesebuah parti untuk gagal dan berkubur adalah sangat tinggi.
Selalunya sesebuah parti politik mengambil masa yang lama untuk ia benar-benar dapat membina kekuatannya dan dianggap established. Risau juga kalau-kalau apabila masa itu tiba, mereka yang dahulunya muda sudah menjadi tua, jadi tak sesuailah pula berada dalam parti untuk orang muda.
Sama ada perlu atau tidak parti politik khusus untuk anak muda itu tidak patut timbul. Sebab yang lebih penting, politik anak muda tidak boleh dimatikan. Ia perlu sentiasa disegarkan serta diraikan sebagai sinergi politik masa hadapan.
Apapun platformnya, politik anak muda akan terus dinamik dan agresif, walaupun cetek ilmu dan pengalaman. Tetapi percayalah, naluri dan firasat politik mereka ikhlas dan jujur.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!