Kenyataan Zahid tidak jejaskan Bersatu
TANJUNG MALIM - Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak terkesan dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai hasrat mempertahankan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum lalu.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kenyataan Pengerusi Barisan Nasional itu mungkin memberi persepsi berbeza namun tidak akan mengeruhkan suasana sesama parti.
“Bersatu, Pas dan UMNO mempunyai hubungan yang sangat baik, jadi kadang-kadang apa juga yang saya katakan atau pimpinan UMNO dan Pas katakan diberi persepsi yang pelbagai.
“Saya tidak nampak apa yang diperkatakan Ahmad Zahid Hamidi itu mengeruhkan suasana ataupun mengiakan yang dikatakan Tun Dr Mahathir Mohamed melalui blog beliau,” katanya.
Ahmad Faizal berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pembelian Rumah Perakku 1 Ulu Bernam Timur dan Mukim Slim (Trolak) Daerah Muallim di Dewan Serbaguna Trolak Pekan di sini hari ini.
Sebelum ini Dr Mahathir melalui Facebooknya menyatakan Bersatu seperti tiada tempat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Menurutnya, rundingan pembahagian kerusi antara ketiga-tiga parti tersebut berjalan dalam suasana baik.
“Saya sendiri salah seorang wakil parti berunding dengan wakil UMNO dan Pas, hubungan kami tetap baik.
“Perbincangan dijalankan tidak seperti apa yang berlaku dalam parti yang baharu ditubuhkan ini, saya dengar sudah berkecamuk siapa mahu jadi ketua bahagian dan sebagainya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!