Moh mengundi, jangan mengelat
PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim akan melabuhkan tirai hari ini. Kempen telah pun tamat jam 12 tengah malam tadi dan keputusan PRK kini terletak di tangan 23,094 pengundi yang terdiri daripada 11,447 lelaki dan 11,647 perempuan.
Tumpuan kita adalah tanggungjawab seramai 22,749 pengundi yang akan keluar membuang undi bermula dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang di 12 pusat mengundi dan 54 saluran hari ini.
Ketika negara berhadapan pandemik koronavirus (Covid-19), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melaksanakan penambahbaikan dengan memaklumkan kepada pengundi untuk keluar mengundi pada waktu yang digalakkan menerusi kad pengundi yang dihantar kepada pengundi di DUN Slim ini.
Kebiasan baharu itu adalah bagi menjaga penjarakan fizikal dengan mengelakkan kesesakan. Kad pengundi itu mengandungi maklumat seperti pusat mengundi, saluran, nombor bilangan dan tarikh.
Jadi kad ini perlu dibawa bersama MyKad. Yang tidak dapat kad pengundi, jangan bimbang kerana maklumat pengundian boleh diakses menerusi portal semakan daftar pemilih, aplikasi MySPR, Hotline SPR dan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan catatan maklumat pengundian.
Catatan dan kad pengundi itu perlu ditunjukkan kepada kerani pengundian pertama di saluran dan maklumat itu akan memudahkan kerani membuat semakan nama serta membantu kelancaran proses pengundian hari ini.
Normal baharu
Seperti kebiasaan baharu lain, pengundi juga perlu memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan dan melalui proses saringan suhu. Pengundi akan melalui penggunaan pensanitasi tangan di empat stesen dalam pusat mengundi iaitu pintu masuk pusat mengundi, pintu masuk saluran, dalam saluran iaitu ketika SPR perlu menanda dakwat kekal pada jari menggunakan berus dan sebelum keluar dari pusat mengundi.
Pengundi tidak boleh mengelat kerana petugas akan memantau pergerakan pengundi sepanjang proses itu berlangsung. Bagi warga emas dan orang kurang upaya (OKU), seramai 689 petugas yang dilantik akan membantu melancarkan proses pengundian.
Pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan manakala individu yang di bawah Perintah Pengawasan (PUS) dan Individu Di Bawah Rawatan (PUI) hendaklah memohon kebenaran daripada pegawai kesihatan daerah jika ingin mengundi.
Tatacara pakaian juga perlu diperhatikan apabila pengundi, calon dan petugas yang memasuki pusat mengundi tidak dibenarkan memakai pakaian, pelitup muka atau ‘material’ yang mempunyai nama, simbol, gambar parti atau calon bertanding.
Bahan kempen serta slogan kempen yang membawa maksud sokongan pada mana-mana fahaman politik pun tidak boleh dibawa. Tindakan tegas akan diambil oleh SPR.
PRK DUN Slim menyaksikan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan anak tempatan, Mohd Zaidi Aziz, 43, yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim untuk mempertahankan kerusi DUN itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang baru ditubuhkan dan seorang guru yang juga anak tempatan, S Santharasekaran, 42.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lepas. Mohd Khusairi adalah penyandang kerusi DUN Slim sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) pada tahun 2004.
Apa pun keputusannya, ia akan menjadi kayu pengukur kepada politik baharu Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!