Pengundi tertua teruja mengundi
TANJUNG MALIM - Pengundi tertua pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, M Renggaiyah antara kumpulan awal yang membuang undi di Pusat Mengundi, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Trolak, Slim River di sini hari ini.
Renggaiyah, 96, yang berkerusi roda tiba di pusat mengundi sekitar jam 8.30 pagi bersemangat untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai rakyat.
"Hari ini saya bangun jam 5.30 pagi kerana mahu pergi mengundi. Saya sudah beritahu anak angkat, Mohd Riduan Jalil, 57, supaya bantu saya tolak ke sini.
“Saya berbangga dapat menunaikan tanggungjawab saya sejak tahun 1955. Ini pertama kali saya undi untuk PRK,” katanya.
Dia yang juga bekas ‘home guard’ menasihatkan pengundi untuk bersama-sama membuang undi.
“Tinggalkan kerja sebentar dan datang sini mengundi. Tidak ambil masa lama pun, sekejap sahaja. Mengundi itu penting,” katanya.
Sementara itu, warga emas, Sharudin Hussin, 75, tiba seawal jam 7.30 pagi hanya untuk mendapatkan giliran pertama untuk membuang undi bersama adik, Rabeah, 63 dan anaknya, Hishamudin, 50.
“Saya mahu ambil giliran awal kerana kami sekeluarga perlu bergerak ke Johor Bharu untuk menghadiri kenduri kahwin anak saudara.
“Sepatutnya saya perlu gerak awal tetapi disebabkan tarikh mengundi ini sama, jadi saya tunaikan tanggungjawab saya terlebih dahulu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!