MDKS sita, tutup premis, penjaja dikendali warga asing
KUALA SELANGOR - Tiga premis di Tanjong Karang dan satu penjaja di Taman Sirambai diarah tutup serta merta dan peralatan perniagaan disita kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen serta dikendalikan oleh warga asing.
Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat berkata, operasi bermula pada jam 3 petang dan berakhir jam 7 malam itu membabitkan seramai 17 anggota Jabatan Penguat kuasa MDKS.
Menurutnya, operasi yang dijalankan kelmarin itu berikutan premis dan penjaja disyaki menjalankan perniagaan tanpa lesen sah yang dikendalikan warga asing serta penyalahgunaan lesen perniagaan oleh warga tempatan.
"Antara barangan iaitu satu unit peralatan penjaja (khemah, meja kayu dan buah kelapa), 14 unit tong gas, lapan kampit beras pelbagai jenama, dua unit kerusi gunting rambut dan set peralatan gunting rambut.
"Turut dirampas masing-masing sayu unit vakum, pemampat udara dan unit penyembur buih," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rahilah memberitahu, semua barangan rampasan dibawa ke stor MDKS.
"Kes disiasat di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007 dan Undang-Undang Kecil 42(1) Undang-Undang Kecil Penjaja (MDKS) 2007," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!