Gaun tema Jalur Gemilang terap semangat patriotik anak
KUALA TERENGGANU - Seorang jurusolek sanggup mengorbankan masa dan wang ringgit untuk menghasilkan gaun cantik bertema Jalur Gemilang supaya dapat menerapkan semangat patriotik kepada anak-anaknya sempena sambutan Hari Kemerdekaan.
Tuan Syazwiain Tuan Zarahim Nazri, 30, dari Kuala Ibai berkata, beliau membelanjakan RM600 untuk menjahit sendiri dua gaun bertemakan Jalur Gemilang yang diperagakan dua anak perempuannya, Damia Aysarah Khalieesya Safuan, 7, dan Mia Aysarah Ayuni, 5.
Katanya, beliau mula menjahit sendiri pakaian itu selepas anaknya memberitahu mahu menyertai pertandingan Ikon Cilik Merdeka anjuran seorang pereka fesyen dari Pulau Pinang.
Menurutnya, pertandingan yang disertai anak-anaknya itu dianjurkan secara dalam talian dengan yuran penyertaan RM35 setiap seorang.
"Saya sebenarnya tidak begitu mahir menjahit kerana saya hanya tahu asas jahitan sahaja. Sebab itulah saya memanfaatkan ilmu jahitan yang dipelajari secara dalam talian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira lima bulan lalu.
"Saya bersyukur kerana dalam tempoh itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Tidak rugi belajar menjahit dengan ilmu yang diperoleh saya dapat menyiapkan pakaian kemerdekaan anak-anak dalam tempoh sebulan," katanya.
Menurutnya, itu percubaan kali pertama kerana sebelum ini kesemua baju yang untuk pertandingan sempena Hari Kemerdekaan ditempah khas daripada tukang jahit.
Tuan Syazwiain berkata, pakaian Damia Aysarah Khalieesya direka berkonsepkan potongan gaun kembang manakala Mia Aysarah Ayuni pula menggayakan fesyen peplum yang dihasilkan dengan menggunakan empat warna yang ada pada Jalur Gemilang.
Katanya, bagi mencipta kelainan beliau turut melengkapkan pakaian itu dengan kata-kata daripada tema Hari Kebangsaan Ke-63, Malaysia Prihatin di samping slogan sesuai untuk negara.
Tuan Syazwiain yang juga bekerja sebagai jurusolek berkata, selain pakaian, beliau turut menghasilkan hiasan kepala unik yang menggabungkan bunga raya dan bendera bagi melengkapkan penampilan kemerdekaan kedua-dua anaknya.
Selain dua anak perempuannya, beliau turut menghasilkan pakaian bertemakan sambutan kemerdekaan untuk anak lelaki kembarnya yang Tuan Aqeel Aysar dan Tuan Aqeef Aysar yang berusia 10 tahun.
Katanya, usaha menghasilkan pakaian bertemakan sambutan Hari Kemerdekaan itu turut disokong suaminya, Safuan Kalid, 32.
"Saya bersyukur sebab usaha saya turut disokong oleh suami. Apa yang saya harapkan ialah anak-anak saya memahami dan menghayati erti kemerdekaan yang diraikan negara kita saban tahun.
"Selain itu, saya berharap usaha kecil saya ini dapat memberikan inspirasi kepada ibu bapa di luar sana serta turut 'mewarnai' kemeriahan sambutan bulan kemerdekaan kali ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!