Proses undi aman tanpa gangguan peraih undi

Abdul Ghani pada sidang akhbar di SK Aminuddin Baki hari ini.
Abdul Ghani pada sidang akhbar di SK Aminuddin Baki hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Proses membuang undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim hari ini berlangsung aman tanpa gangguan aktiviti meraih undi di sekitar kawasan pusat pengundian.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, tinjauan dilakukan pihaknya mendapati tiada sebarang aktiviti memegang bendera atau membina pondok panas sepertimana kebiasaan pilihan raya sebelum ini.

"Kalau sebelum-sebelum ini, pengundi nak masuk pun susah tetapi di sini keadaannya aman, tiada kehadiran peraih undi, sebaliknya yang datang memang nak pergi mengundi.

"Ini satu perubahan yang baik dan mungkin mereka-mereka yang terlibat ini sudah sedar bahawa tiada keperluan untuk buat seperti itu kerana yang pergi mengundi ini sudah pun fikir siapa yang dia nak undi sama ada A, undi B atau undi C... saat akhir dah tak perlu," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil lawatan ke tiga pusat mengundi iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Trolak Utara, SK Trolak Selatan dan SK Aminuddin Baki didapati ramai warga emas keluar mengundi pada sebelah pagi menyebabkan berlaku kesesakan di pusat mengundi itu.

Katanya, setakat jam 11 pagi tadi, peratusan yang keluar mengundi adalah 29 peratus dan kebanyakannya pengundi di saluran 1 dan 2.

"Kita dapati memang pada pagi ini, peratusan pengundi warga emas yang keluar begitu ramai.

"Keadaan di sekolah-sekolah ini jadi agak sesak, nampaklah mereka ini dihantar anak, adik-beradik dan sebagainya. Namun ia satu perkembangan yang baik dengan peningkatan hampir 10 peratus bagi setiap jam sejak pengundian dibuka 8 pagi tadi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Ghani berkata, berbeza dengan saluran 5 dan 6, peratusan keluar mengundi yang membabitkan pengundi muda itu agak perlahan.

Justeru pihaknya menyarankan agar pengundi muda keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab untuk mengundi hari ini agar mencapai sasaran 85 peratusan keluar mengundi yang ditetapkan SPR.

"Tak kisahlah nak datang jam 4 atau 5 petang, janji mereka datang mengundi sebelum pusat mengundi ditutup pada jam 5.30 petang ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!