Lanjutan PKPP tidak jejas ekonomi negara: Tok Pa
KOTA BHARU - Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa 1 September sehingga penghujung tahun ini tidak memberi kesan yang besar kepada ekonomi serta perdagangan negara.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Sri Mustapa Mohamed berkata, hal ini adalah dengan mengambil kira perkembangan sektor ekonomi negara yang semakin baik ketika pasca koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya tetapi dilihat beransur pulih apabila kegiatan ekonomi sudah dapat beroperasi sepenuhnya bermula Jun lalu.
“Kita dapati bahawa ekonomi negara semakin rancak. Sektor peruncitan, sektor perusahaan kecil dan sederhana dan sektor pembuatan termasuk pembinaan juga semakin rancak.
“Jadi maknanya kita berpendapat yang tindakan (lanjut PKPP) adalah tepat dan ia tidak akan menjejaskan ekonomi negara, malahan pembangunan negara semakin pulih dan kita jangkakan pada hujung tahun ini ekonomi negara kita akan semakin pulih,” katanya kepada media hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan perasmian Kiosk Air Tebu Viral yang diusahakan Pengerusi Persatuan Tebu Telur Kelantan, Mohd Rizuan Shah Mamat di Royal Guest House.
Dalam pada itu, Mustapa berkata, pandemik Covid-19 yang melanda dunia sebenarnya mengajar negara bagi memastikan bekalan negara sentiasa terjamin.
Katanya, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Munyiddin Yassin.
Mengulas lanjut berhubung lanjutan PKPP, Mustapa juga Ahli Parlimen Jeli berkata, selain kerajaan, rakyat turut perlu memainkan peranan untuk memastikan rantaian pandemik Covid-19 dapat diputuskan dan negara bebas daripada virus berkenaan sepenuhnya dengan cepat.
“PKPP ini bukan benda baru, sudah pun dua bulan dikuatkuasakan, yang penting kita perlu berwaspada supaya tidak berlanjutan kes Covid-19 di negara kita. Tidak mahu apa yang berlaku di Australia dan negara Eropah berlaku di negara kita,” katanya.
Mustapa juga menasihatkan masyarakat untuk terus mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara yang menggariskan beberapa perkara utama perlu diikuti.
Katanya, rakyat sudah biasa dengan norma baharu yang dilalui semenjak pandemik Covid-19, bagaimanapun perlu terus menjaga penjarakkan fizikal, memakai pelitup muka dan sentiasa menjaga kebersihan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!