Surau buluh jadi pusat penyelidikan buluh pertama di Malaysia
KUALA TERENGGANU - Surau buluh yang akan dibina di Dataran Tembesu, Kuala Nerus akan menjadi pusat penyelidikan bagi pembinaan berasaskan buluh yang pertama di negara ini, selain menjadi ikon pelancongan terbaru di Terengganu.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kos pelaksanaan projek itu dijangka melibatkan peruntukan kira-kira RM400,000, meliputi kos pembangunan dan penyelidikan.
Menurutnya, projek berkenaan akan dilaksanakan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus serta Bamboo Jungle Adventures Sdn Bhd (BJA) di atas tapak seluas 3,000 kaki persegi.
“Sebenarnya kita sudah ada model surau buluh di Malaysia tapi surau buluh yang nak dijadikan sebagai pusat penyelidikan dan kajian buluh belum ada. Begitu juga dengan masjid, kita sudah ada masjid buluh di Gua Musang, Kelantan dan Kuala Kangsar, Perak.
“Bezanya, surau ini bukan hanya diperbuat daripada buluh tapi produk yang dihasilkan juga daripada buluh. Kita akan gunakan bahan itu dan jadikannya satu sampel penyelidikan untuk semua orang di bidang ini.
“Kita akan rekodkan daripada awal pembinaan untuk dijadikan bahan kajian. Ia akan menjadi model penyelidikan untuk dibina oleh orang lain yang bersifat persendirian. Sekarang ini dalam proses meratakan tanah dan kita jangka ia siap dalam tempoh sembilan bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) diantara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Bamboo Jungle Adventures Sdn Bhd (BJA) dan Golden Pharos Berhad di Hotel Paya Bunga, di sini hari ini.
MTIB diwakili Ketua Pengarahnya, Mohd Kheiruddin Mohd Rani manakala BJA diwakili Pengarah Urusannya, Anum Nazahah Ahmad Mazlan dan Golden Pharos diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nadzarudin Abdul Razak, yang turut disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, MoA itu melibatkan pembangunan manual aplikasi buluh dalam industri pembinaan yang akan menjadi rujukan kepada mana-mana pihak yang ingin mendirikan bangunan menggunakan buluh sebagai komponen struktur.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kementerian juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta dalam membangunkan projek ‘Model Ladang Hutan Buluh’ di Terengganu.
“Pelaksanaan projek ini adalah selama lima tahun dan diharapkan projek tersebut akan menjadi panduan kepada pemain-pemain industri yang lain untuk menceburi bidang perladangan dan seterusnya menyumbang kepada bahan mentah bagi pembuatan produk berasaskan buluh,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!