G57 buat laporan polis dakwa Shafie Apdal fitnah Musa Aman

Shafie Apdal dan Musa Aman
Shafie Apdal dan Musa Aman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia @G57 hari ini membuat beberapa laporan polis ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan dua lagi anggota Parti Warisan.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, laporan itu dibuat ke atas Mohd Shafie kerana kenyataan beliau bahawa bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman kononnya memberikan hampir sejuta ekar tanah kepada individu tertentu termasuk ahli keluarga sendiri.

"Fitnah ini dibuat tanpa ada bukti kukuh dan apa yang menghairankan adalah sepanjang Shafie mengetuai Sabah selama 26 bulan, isu pemberian tanah langsung tidak pernah ditimbulkan malah laporan rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak dibuat.

"Malangnya selepas pengumuman DUN Sabah dibubarkan, Shafie telah keluar kenyataan fitnah untuk menjejaskan imej dan kredibiliti Musa bagi mengalihkan isu kegagalan Shafie mengurus tadbir negeri Sabah dengan baik," katanya pada sidang akhbar di depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Beliau juga meminta supaya tindakan undang-undang diambil ke atas dua anggota Parti Warisan Sabah iaitu Nordin Ening dan Ismaily Bungsu yang menuduh Musa sebagai perompak serta dan pencuri tanpa sebarang bukti.

Zulkarnain berkata, laporan polis itu juga dibuat terhadap Mohd Shafie susulan beberapa video oleh Jufazli Shi Ahmad menyifatkan pemimpin tersebut sebagai ejen Filipina yang menuntut Sabah.

"Apa yang peliknya Shafie tidak mengambil tindakan saman fitnah ke atas Jufazli ini dan jika ia fitnah, sepatutnya beliau berani tampil ke hadapan untuk saman tetapi sampai sekarang dia tidak mengambil apa-apa tindakan,” katanya.

Beliau berkata, polis harus menyiasat sama ada dakwaan itu benar atau tidak kerana yakin Jufazli tidak akan berani mengeluarkan kenyataan sedemikian tanpa bukti kukuh. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!