SPR puas hati peratusan keluar mengundi
CAMERON HIGHLANDS - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi PRK Cameron Highlands sebanyak 68.79 peratus.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, ia merupakan peratusan keluar mengundi tertinggi berbanding empat PRK sebelum ini.
"Kita cuma tersasar sikit daripada sasaran keluar mengundi 70 peratus. Ia mungkin disebabkan ramai pengundi luar yang tidak balik mengundi.
"Secara keseluruhannya, saya amat puas hati dengan peratusan tersebut," katanya kepada media selepas pengumuman keputusan PRK Cameron Highlands, malam ini.
Katanya, peratusan yang tinggi itu disumbang oleh faktor dinamik PRK Cameron Highlands berbanding empat PRK sebelum ini.
"Di mana kita lihat kedua-dua calon yang bertanding itu datang dari PH yang mengawal kerajaan Persekutuan dan BN yang mewakili kerajaan negeri. Jadi dinamiknya agak berbeza.
"Tambah pula dengan isu-isu semasa. Jadi saya rasa lebih ramai pengundi keluar mengundi," katanya.
Azhar juga berpuas hati dengan peningkatan keprihatinan dan kesedaran calon, parti-parti politik serta rakyat mengenai undang-undang berkaitan kesalahan pilihan raya.
"Ini menunjukkan betapa pentingnya pilihan raya dijalankan secara telus, bersih dan adil. Saya rasa ini satu kemajuan yang amat baik dan saya harap ia berterusan," katanya.
Ditanya mengenai gesaan Bersih agar SPR membuat laporan polis terhadap calon PH, M Manogaran yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya, beliau berkata, SPR akan memberi pertimbangan kepada perkara tersebut.
"Setelah mendapat semua fakta, mungkin kita akan dapatkan pandangan undang-undang dan ambil tindakan sewajarnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!