Depay masih berteka-teki
PENYERANG berbisa Lyon, Memphis Depay mengakui dia hanya mampu 'mengimpikan kelab besar' ketika spekulasi kini bertiup kencang mengatakan dia bakal menyertai Barcelona.
Penyerang antarabangsa Belanda berusia 26 tahun itu dilaporkan akan mengubah haluan ke Sepanyol berikutan bekas jurulatih Belanda, Ronald Koeman mengambil alih jawatan sebagai pengendali Barcelona.
Kehadiran Koeman ke Nou Camp baru-baru ini menambahkan lagi spekulasi bahawa Depay akan kembali bekerjasama dengan bekas jurulatihnya itu pada musim perpindahan kali ini.
"Saya belum lagi bercakap dengan Koeman. Anda tahu dia terlibat dalam proses pemulihan kecederaan yang saya alami. Dia datang ke Rom untuk berjumpa dengan saya. Ketika saya berlatih di Belanda juga dia datang menemui saya dan sehingga hari ini, hubungan kami amat baik.
"Dia kini merupakan pengendali Barcelona dan secara peribadi, saya hanya memberi fokus kepada Lyon. Namn, saya masih mengimpikan kelab besar dan kita akan lihat apa yang akan berlaku nanti.
"Tetapi buat masa ini saya adalah pemain Lyon dan saya memikul tanggungjawab yang besar. Kelab ini memberikan saya banyak kebebasan, jadi saya cukup gembira," kata Depay.
Selepas saingan Ligue 1 musim lalu berakhir lebih awal akibat Covid-19, Lyon sekadar menduduki tangga ketujuh, namun tampil bergaya apabila mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!