Peluang usaha projek ternakan ikan sangkar di Sungai Linggi

No Image Caption
A
A
A

PORT DICKSON - Kerajaan Negeri Sembilan menggalakkan pengusaha tempatan termasuk golongan nelayan untuk mengusahakan projek ternakan ikan dalam sangkar di sepanjang Sungai Linggi di sini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri akan memberikan bantuan berkaitan dalam usaha meningkatan pendapatan masyarakat tempatan yang terlibat dalam bidang ternakan ikan bersangkar.

“Sungai Linggi ini merupakan salah satu sumber makanan yang penting kepada rakyat yang turut dapat menjana pendapatan khususnya golongan yang kurang berkemampuan.

Saya galakkan pengusaha tempatan termasuk nelayan untuk menceburi bidang ini, kerajaan negeri akan bantu untuk pastikan ia dapat beri pulangan kepada mereka yang terlibat,” katanya selepas program Menyusuri Sungai Linggi Bersama Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Kata Aminuddin yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri juga berkata kerajaan negeri ketika ini juga dalam usaha untuk memperkenalkan daya tarikan yang ada pada Sungai Linggi antaranya Pusat Ikan Hiasan, kelip-kelip dan buaya.

“Kita bukan sahaja mahu ia dikenali di kalangan pelancong tempatan tetapi juga pelancong asing dan seterusnya menjadi sebahagian daripada pakej produk pelancongan negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata pelancongan bukan hanya sekadar melihat kepada aspek pelabur semata-mata namun harus juga memberi keutamaan kepada golongan yang kurang berkemampuan termasuk rakyat yang miskin.

“Macam ternakan ikan di Sungai Linggi, ia harus diperhebatkan sama ada menyokong program sedia ada atau mengenal pasti lebih ramai lagi pengusaha yang boleh menceburkan diri dalam bidang ini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!