KV, TVET: Armada yakin kemampuan Maszlee

Ulya Aqamah Husamudin
Ulya Aqamah Husamudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yakin Kementerian Pendidikan dikemudi Dr Maszlee Malik mampu untuk terus menjaga kebajikan Kolej Vokasional (KV) dan institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang lain.

Ketua Penerangan Armada Nasional, Ulya Aqamah Husamudin berkata, kerajaan melalui kementerian itu sentiasa memberi tumpuan terhadap setiap masalah dihadapi KV dan TVET, di mana langkah penyelesaian dan ruang masa perlu diberi kepada kementerian untuk melakukan pembaikpulihan.

"Antara masalah-masalah KV adalah masalah akreditasi, kebolehpasaran yang rendah hingga sesetengah program hanya terdapat 20 peratus nilai kebolehpasaran, prasarana KV yang tiada sijil keselamatan dan tenaga pengajar tidak terlatih bagi menghadapi revolusi Industri 4.0.

"Masalah ini telah berlaku sejak 2012 dan gagal diselesaikan kerajaan terdahulu, maka kita perlu beri ruang dan peluang kepada Dr Maszlee Malik bersama pasukan beliau untuk atasi masalah ini dan sebarang cadangan penambahbaikan boleh diajukan terus kepada pihak kementerian," katanya melalui satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, hasil perbincangan antara Armada dan pihak kementerian, beberapa langkah ke hadapan telah dipersetujui dan diambil bagi mengatasi masalah-masalah yang berlaku melibatkan KV dan TVET.

"Antara langkah yang kita usahakan adalah menambah kemahiran tenaga pengajar melalui latihan dalam industri dan mencari penyelesaian akreditasi dengan hanya mengguna satu sistem. Kami yakin langkah-langkah ini akan diterangkan pihak kementerian dengan lebih lanjut nanti," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!