BN mendahului dengan majoriti besar
TANJUNG MALIM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan setakat jam 7.30 malam ini, calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz, 43, mendahului Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dengan memperoleh majoriti 9,491 undi.
Berdasarkan portal rasmi SPR, keputusan tidak rasmi menunjukkan Mohd Zaidi memperoleh 11,352 undi, manakala calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, beroleh 1,861 undi dan seorang lagi calon Bebas, S Santharasekaran, 44, memperoleh 242 undi.
DUN Slim mempunyai 23,094 pemilih berdaftar terdiri daripada 22,749 pengundi biasa, 267 pengundi awal dan 78 orang mengundi secara pos.
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada BN yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!