'Papa nak cari uncle Acap'
GOPENG - Meskipun tiada khabar berita termasuk petunjuk baharu mengenai kehilangan juruteknologi makmal, Klinik Kesihatan Muar yang sehingga kini menjadi misteri, pencarian Mohammad Ashraf Hassan masih diteruskan.
Perkembangan terbaharu, abangnya, Mohd Zahiruddin, 36, memuat naik posting di Facebook miliknya semalam dengan menyatakan misi mencari dan menyelamat (SAR) Acap tetap diteruskan seperti biasa.
"Yusuf tinggal sat eh... papa nak cari uncle Acap," tulisnya pantas menarik perhatian ramai yang mahu mengetahui perkembangan terbaharu Acap.
Mohd Zahiruddin juga berkongsi misi pencarian Acap di saluran YouTube miliknya, Denny Lang Channel semalam.
Video durasi 30 minit tertera SAR Acap pondok usang meraih lebih 700 tontonan.
Difahamkan, pencarian Acap dijalankan sekurang-kurangnya satu atau dua kali sebulan.
Rakaman video itu memberitahu sebanyak dua kumpulan digerakkan dalam misi tersebut.
Penularan catatan ringkas itu nyata menyentuh hati para netizen yang terkesan dengan sikap tidak berputus asa Mohd Zahiruddin.
Menjengah di ruang komen, ramai netizen mendoakan agar Acap dipertemukan dan keluarganya mendapat petunjuk baharu mengenai Acap.
"Mama doakan segala urusan pencarian Acap, ALLAH permudahkan Insya-ALLAH, amin," tulis pengguna akaun Setia.
Kata Irfan Fauzi, juga mendoakan agar ALLAH ketemukan Acap dengan keluarganya.
Maaf abam hantar wakil jumpa u all.. abam busy nikah..eh tak.. maksud abam sepupu nikah. Welcome new investor Yusuf...
Posted by Denny Lang on Friday, August 28, 2020
Di Twitter pula, netizen juga tetap mengingati Acap dan mahu mengetahui perkembangan terbaharunya.
Izzat Ikhwan berkata, "Tiba-tiba teringat tentang Acap yang hilang masa tengah berlari dalam Gopeng Ultra Trail tahun lepas. Operasi mencari Acap adalah operasi terbesar cari orang hilang di Malaysia. Sempat jadi kontroversi sebab banyak bomoh kata Acap diculik jin. Moga ada petunjuk nanti."
Sementara itu, Fhani turut setia menantikan maklumat terbaharu Acap daripada misi pencarian selama ini.
"Baru sahaja sembang pasal Acap semalam dengan rakan pejabat sebab nak tahu perkembangan terbaharu. Harap semua dipermudahkanlah," katanya.
Kisah kehilangan Acap mendapat liputan meluas setelah hilang pada 23 Mac 2019 ketika menyertai Gopeng Ultra Trail dan hingga kini belum menemui sebarang petunjuk lokasi mangsa berada.
Operasi pencariannya turut dihentikan pada 30 Mac 2019 setelah lebih 700 pasukan SAR serta orang awam terlibat dalam pencarian membabitkan kawasan seluas 35 kilometer persegi meliputi kawasan Bukit Batu Putih hingga Plaza Tol Gopeng.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!