Malaysia Prihatin berbeza bangsa

A
A
A

ESOK rakyat Malaysia akan meraikan Hari Kebangsaan ke-63 yang akan disambut dalam normal baharu.

Enam puluh tiga tahun selepas Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, kemajuan negara berbanding zaman pramerdeka amatlah ketara. Untuk itu, sekalung tahniah diucapkan kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus berusaha membangunkan negara, begitu juga pihak kerajaan yang memandu memacu kemajuan negara sehingga disegani di pelosok dunia.

Namun, dalam kita menikmati kebebasan, ada beberapa aspek kita masih terus ‘dijajah’. Sejak kebelakangan ini, aspek pembinaan negara dalam kalangan masyarakat semakin hari semakin dilihat bagai diruntuhkan. Mungkin pendekatan penjajah dahulu melalui sistem divide and rule diamalkan oleh beberapa golongan tertentu.

Acapkali kita lihat apabila berlaku sesuatu isu yang melibatkan kaum (walaupun ia sebenarnya bukan isu perkauman), masyarakat begitu marah dan kerap menjadi sasaran cemuhan. Bukan sahaja golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara, malah golongan majoriti juga sering berasa dipinggirkan dan tidak mendapat keadilan. Sesuatu perlulah dilakukan pihak berkuasa bagi meredakan keadaan tersebut.

Pihak yang memegang tampuk kerajaan tidak boleh hanya memikirkan peti undi semata-mata dalam membuat apa-apa tindakan. Leluhur kita sudah membina negara dengan semangat toleransi yang tinggi dan itulah yang perlu dipertahankan. Tindakan perlu diambil kepada sesiapa sahaja yang cuba menggugat semangat itu ataupun membelakangkan falsafah pembinaan negara serta sejarahnya.

Malaysia begitu unik, tidak sama dengan mana-mana negara lain di dunia. Namun, hari ini keunikan itulah yang diperkotak-katik banyak pihak kerana mereka tidak memahami sejarah. Malah, ada juga yang mahu menulis kembali sejarah dengan mengambil kira perspektif mereka sendiri yang tersasar daripada fakta sebenar. Ia adalah tindakan yang sangat berbahaya kerana ia menggarap fakta yang tidak benar.

Sempena bulan kemerdekaan, marilah bersama-sama kita bulatkan tekad merenung kembali sejarah negara. Kita perlu menoleh ke belakang melihat sejarah silam bagi melihat ke hadapan membina kecemerlangan. Tiada gunanya kita cemerlang jika jati diri anak bangsa kita sendiri sudah tiada.

Tiada manfaatnya kita mengimport nilai-nilai luar yang dikatakan baik itu sedangkan kita meminggir nilai tempa-tan yang sudah sebati dengan jiwa dan raga kita. Tiada eloknya juga kita berkiblat ke luar negara sedangkan panduannya ada pada diri kita sendiri.

Artikel Berkaitan:

Malah, tiada kebaikan jika kita mahu membina kekuatan bersumberkan tela-han luar tetapi pada masa yang sama kita menghancurkan swadaya watan.

Kita mesti membina negara atas aspirasi kita sendiri, bukan melalui kacukan luaran yang mungkin tidak serasi dengan selera kita. Sesungguhnya mengisi kemerdekaan itu lebih sukar daripada mendapatkannya. Tanggungjawab dan peranan kita sebagai warganegara untuk membawa negara ke mercu kecemerlangan, selain tidak meminggirkan nilai, sejarah dan jati diri yang sudah sebati itu.

Memang benar dalam sebuah negara pelbagai bangsa dan agama, kita tidak dapat lari daripada perselisihan faham. Menguruskan perselisihan itu sangat penting dan perlu diberi perhatian. Tiada kompromi perlu diberikan kepada mereka yang sengaja mahu mencetuskan pergaduhan kaum atas apa juga alasan.

Perbezaan keistimewaan yang di-berikan kepada golongan tertentu adalah sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. Ia sudah diterima sepanjang kita membina Malaysia. Jangan dipertikai keabsahannya kerana sekali ia dipertikai, beribu kali perkara lain akan diungkit.

Marilah kita sama-sama membawa negara ke mercu kegemilangan. Sikap saling menghormati yang saya perhatikan semakin pudar perlulah disinarkan kembali. Malaysia mampu mengubahnya. Jadikanlah Malaysia graha rujukan bagi orang luar untuk belajar daripada kita. Walaupun terdapat perbezaan, ia diraikan bersama kerana kita semuanya prihatin sesama rakyat.

Malaysia Prihatin.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!