TFC pintas Perak di kedudukan kedua Liga Super
TERENGGANU FC (TFC) memintas Perak di kedudukan kedua Liga Super selepas mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Sabah pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.
Kejayaan itu menyaksikan TFC kini hanya dipisahkan tiga mata daripada pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengumpul 13 mata selepas lima perlawanan.
Penyerang import Dominique Da Sylva membuka tirai jaringan TFC pada minit ke-14 diikuti dua jaringan Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-43 dan minit ke-71 yang ‘membunuh’ perlawanan sebelum Muhammad Faris Ramli melengkapkan kemenangan bergaya 4-0 menerusi gol pada minit ke-84.
Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, dua gol hasil ledakan penyerang import Kipre Tchetche pada minit ke-29 dan minit ke-36 memastikan Kedah meraih tiga mata selepas menumpaskan pasukan tercorot liga, Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0.
Sementara itu, Selangor terus dihimpit keputusan seri apabila terikat 0-0 ketika berdepan Petaling Jaya City FC di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Aksi Liga Premier menyaksikan Pulau Pinang mengekalkan rekod tanpa kalah apabila melakar kemenangan bergaya 3-0 menewaskan Kelantan yang terpaksa bermain dengan 10 orang di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV.
Endrik Dos Santos Parafita muncul wira skuad Harimau Kumbang apabila mencetak hatrik menerusi gol pada minit ke-53, minit ke-66 dan pada penghujung babak permainan sementara pertahanan tuan rumah Mohamad Khairul Asyraf Ramli dilayangkan kad merah selepas mengutip dua kad kuning.
Johor Darul Ta’zim II (JDT II) berjaya mencatat kejayaan tipis 3-2 mengatasi Kelantan United FC di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin sementara Perak II seri 2-2 ketika menentang Sarawak United FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!