Kejuaraan B-19 AFC 2020 mungkin ditangguhkan
KEJUARAAN Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 yang dijadual dari 14 hingga 30 Oktober di Uzbekistan berkemungkinan ditangguhkan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, ia disebabkan impak penularan pandemik Covid-19 yang turut menyaksikan kejohanan penting di bawah kelolaan AFC seperti saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 ditangguhkan ke tahun hadapan.
“Jika dilihat (impak Covid-19), ada kemungkinan Kejuaraan B-19 AFC akan ditangguhkan.
“Semua pertandingan sudah dianjak ke tahun depan, Kejuaraan AFF (Persekutuan Bola Sepak Asean) dan aksi kelayakan pun sama tetapi tahun depan pun masih menjadi tanda soal,” katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM kali ke-56 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, pengurus pasukan skuad B-19 negara, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar yang mengesahkan perkembangan itu berkata keputusan rasmi akan diketahui minggu hadapan.
Pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan akan berbincang mengenai perancangan pasukan selanjutnya termasuk mengenai pemain muda negara kelahiran Amerika Syarikat Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal sebaik keputusan rasmi diketahui.
“Beliau (Wan Kuzri) akan bersama pasukan sehingga keputusan rasmi daripada AFC dikeluarkan dan selepas itu kami akan merencana apa tindakan seterusnya,” katanya.
Pada edisi ke-41 kejuaraan yang menjadi pentas kelayakan ke Piala Dunia B-20 2021 di Indonesia itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan Qatar serta dua negara yang sedang meningkat, Tajikistan dan Yaman. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!