Nafas agih zakat RM100,000
JASIN - Sebanyak RM100,000 agihan wakalah zakat perniagaan disalurkan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) kepada seramai 500 asnaf dalam kawasan Parlimen Jasin di sini semalam.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, sumbangan menerusi program Prihatin Peladang itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 7,000 keluarga di seluruh Malaysia yang dijangka diterima pada tahun ini.
Menurutnya, penganjuran program itu menunjukkan komitmen Nafas bagi memastikan setiap keuntungan daripada aktiviti perniagaan dikongsi semula bagi manfaat ahli peladang dan golongan asnaf setempat.
“Pada program ini, Pejabat Parlimen Jasin turut menyumbang sebanyak 500 kit makanan.
“Sumbangan diharap dapat meringankan kos perbelanjaan seharian mereka,” katanya kepada pemberita pada program Prihatin Peladang Melaka di Masjid Sempang Kerayong dekat Rim di sini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Ghazale Muhammad dan Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Ali Shikh Ahmad.
Ahmad berkata, wakalah merupakan dasar pengembalian wang zakat oleh majlis-majlis agama negeri kepada pengeluar zakat sebagai wakil untuk diagihkan semula kepada asnaf.
Terdahulu, program selama dua hari itu diadakan di empat lokasi iaitu Masjid As-Sujaah, Merlimau yang melibatkan seramai 100 penerima, Masjid Al Muttaqin Kampung Tedong (100 penerima), Masjid Al Hasanah, Sungai Rambai (100 penerima) dan Masjid Simpang Kerayong (200 penerima).
Sementara itu, seorang penerima, Sawiyah Mohd Zaini, 33, melahirkan rasa terharu dan berterima kasih atas sumbangan tersebut.
Menurutnya, sumbangan itu pertama kali diterimanya sejak menjaga dua anak saudara selepas ibunya mengalami masalah kesihatan beberapa tahun lalu.
“Syukur alhamdulillah. Terima kasih kerana memilih saya sebagai salah seorang penerima sumbangan zakat ini,” kata Sawiyah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!