Kerajaan Terengganu galak masyarakat terlibat dalam ekopelancongan

Ariffin (dua dari kiri) mencedok wajik atau pulut manis yang sinonim dengan masyarakat tradisional Melayu yang turut disajikan sempena program Semarak Merdeka 63 yang diadakan di Kalang Warisan, Kampung Pulau Manis, Serada semalam.
Ariffin (dua dari kiri) mencedok wajik atau pulut manis yang sinonim dengan masyarakat tradisional Melayu yang turut disajikan sempena program Semarak Merdeka 63 yang diadakan di Kalang Warisan, Kampung Pulau Manis, Serada semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menggalakkan pembabitan masyarakat dalam sektor industri ekopelancongan atau community based tourism (CBT) bagi meningkatkan lagi daya tarikan dan kunjungan pelancong ke negeri itu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri turut memberi tumpuan terhadap usaha membangunkan lokasi tumpuan pelancong termasuk di beberapa lokasi awal yang dikenal pasti seperti di Dataran Batu Putih, Marang.

“Usaha memajukan kawasan yang ini dilihat memberikan impak positif dengan peningkatan pengunjung saban hari.

“Kita harap ia terus dapat membantu mempromosikan Terengganu kepada masyarakat luar,” katanya kepada media ketika menghadiri program Semarak Merdeka 63 di Kalang Warisan, Kampung Pulau Manis, Serada di sini kelmarin.

Menurut Ariffin, Kalang Warisan adalah contoh CBT terbaik di negeri ini kerana diasaskan sendiri hasil inisiatif komuniti di kawasan terbabit.

“Penduduk turut bekerjasama sehingga terhasilnya sebuah kawasan unik yang memiliki pelbagai daya tarikan tersendiri dan pernah menerima pengunjung sehingga pernah mencecah 1,000 orang sehari.

“Lokasi kawasan yang unik di muara Sungai Terengganu sehingga ke Kuala Berang serta pelbagai produk dan warisan yang ditinggalkan seperti kubur Tokku Pulau Manis menambahkan lagi daya tarikannya.

“Saya percaya lokasi itu akan jauh lebih maju pada masa akan datang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, CBT juga alternatif yang disediakan sekiranya pengunjung tidak dapat ke pulau terkenal di Terengganu kerana tempoh Monsun Timur Laut yang melanda setiap hujung tahun.

“Saya yakin dengan kepelbagaian produk pelancongan ini, ia akan terus mendapat perhatian dan sambutan baik dalam kalangan pelancong,” katanya.

Berdasarkan rekod melalui kajian pelancongan domestik yang dijalankan Tourism Malaysia April lalu, Terengganu menerima kenaikan pelancong tertinggi iaitu 165 peratus diikuti Kelantan (135 peratus) dan Pahang (114 peratus).

Ariffin juga yakin Terengganu mampu mencapai sasaran kehadiran 5.5 juta pengunjung ke Terengganu tahun ini.

“Kita yakin kehadiran pelancong di negeri ini mampu mencapai sasaran 5.5 juta orang berdasarkan peningkatan pengunjung sejak sempadan negeri dibuka selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!