Nafuzi tabik komitmen pemain TFC
HASIL komitmen dan kerjasama erat antara pemain menjadi tonik buat pasukan Terengganu FC (TFC) melonjak ke tangga kedua Liga Super selepas membenam Sabah 4-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini malam tadi.
Ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain memuji kesungguhan serta semangat tinggi pemain menyatakan usaha itu perlu diteruskan pada setiap perlawanan dalam misi skuad Penyu itu mencapai kedudukan teratas liga.
"Pujian untuk pemain kerana bermain bersungguh-sungguh. Kami sangat perlu kemenangan ini kerana kita tahu selepas liga bersambung, jumlah perlawanan sedikit, jadi setiap perlawanan adalah penting untuk kita dapatkan mata," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu.
Dua daripada empat gol TFC disumbangkan pemain import kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov, manakala Dominique Da Sylva dan Faris Ramli masing-masing menyumbang satu gol.
Sementara itu pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, beliau tidak menyalahkan pemainnya 100 peratus walaupun berdepan kekalahan paling teruk musim ini.
Bagaimanapun, ketua jurulatih kelahiran Indonesia itu beranggapan kekalahan tersebut menjadi pengajaran besar untuk mereka berdepan pasukan Selangor, Jumaat depan.
"Tetapi memang pada masa persiapan kita sedikit terjejas kerana tiada perlawanan persahabatan. Ini adalah perlawanan pertama selepas liga ditangguh sekian lama akibat Covid-19,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!