2,000 bertadabur di Kelantan sempena Malaysia #QuranHour
KOTA BHARU - Lebih 2,000 rakyat negeri ini bertadabur secara serentak sempena Malaysia #QuranHour hari ini dengan mengutamakan prosedur operasi standard (SOP).
Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK), Datuk Adnan Hashim berkata, walaupun tidak dapat melaksanakannya sebagaimana biasa namun program tahunan itu tetap berlangsung dengan baik melalui perkongsian di alam maya.
"Kita patuh arahan kerajaan dan kali ini kita raikan Malaysia #QuranHour ini dengan cara baharu iaitu untuk setiap satu kawasan 'hot spot' hanya melibatkan 100 orang ahli Rumah Ngaji. Bacaan mereka akan disiarkan siaran langsung di laman sosial masing-masing.
"Di Kelantan kita ada 20 lokasi dan kami bertadabur serentak termasuklah di lokasi utama iaitu Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian. Alhamdulillah untuk di sini jumlah kehadiran yang dibenarkan ialah 200 orang.
"Tidak kira di mana lokasi kami bersiaran, kita tetap mengutamakan penjarakkan fizikal dan penggunaan pelitup muka sepanjang program berlangsung," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Turut hadir, Pentadabbur PRNNK, Mohd Syakirin Yuslan, Abdul Bari Abdullah (12 Ciri Inadurrahman) dan Amir Kholis Luqman.
Bacaan al-Quran dengan surah Al-Fatihah, Al-Furqan dan Ar-Rahman serta tadabbur dilaksanakan sebaik mungkin.
Selain itu, turut diadakan tazkirah maksud di dalam surah-surah yang dibacakan untuk mengingatkan umat Islam bahawa ALLAH sebagai pencipta dan kita sebagai hamba-Nya.
Adnan berkata, surah Ar-Rahman merupakan satu simbolik sifat ALLAH SWT yang penyayang, pemurah dan ia lebih berkaitan panggilan mulia daripada ALLAH kepada hamba-Nya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!