Pengundi Slim mahu YB fokus ekonomi, tingkat taraf hidup
TANJUNG MALIM - Penduduk dan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menaruh harapan tinggi kepada wakil rakyat baharu membantu meningkatkan taraf hidup mereka terutama dari aspek pembangunan dan ekonomi.
Peniaga, Chong Sin Keong, 56, berkata, ia boleh diwujudkan dengan pelbagai cara, contohnya pembangunan projek seperti kilang.
Menurutnya, berbanding kawasan lain, Slim tidak memiliki pusat perindustrian yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan dan memajukan ekonomi setempat.
"Sekarang kita tengok tak banyak industri ada di sini yang boleh dibangunkan, itu sebab ramai yang merantau ke tempat lain untuk bekerja.
"Mungkin boleh diusahakan untuk kerajaan membina kilang di sini, jadi anak-anak muda boleh bekerja.
"Saya yakin dalam keadaan sekarang ramai anak muda nak bekerja di kawasan sendiri, tetapi disebabkan tiada peluang pekerjaan maka terpaksalah mereka kerja dan tinggal di luar," katanya.
Seorang lagi peniaga, A Santhakumar, 51, berkata, dalam tempoh pandemik koronavirus (Covid-19), ramai yang mengalami kemerosotan perniagaan dan tidak kurang yang kehilangan pekerjaan.
"Mekanisme terbaik adalah dengan menyediakan platform yang membantu ekonomi setempat. Saya dan penduduk di sini berharap ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang baharu ini dapat memikirkan bagaimana kami boleh meningkatkan taraf hidup masing-masing.
"Tetapi perancangan dibawa nanti perlulah melihat kepada keseimbangan antara orang lama dan baru, contohnya jika nak bangunkan pasar raya yang besar, perlu nilai juga nasib peniaga pasar yang mungkin akan terjejas," katanya.
Mazuin Aiza Azzahar Azzlan, 24, mengakui pembangunan ekonomi penting untuk memastikan masa depan generasi muda khususnya anak tempatan DUN Slim terbela.
Katanya, peluang pekerjaan penting supaya mereka yang tiada pekerjaan tidak terbabit dalam masalah sosial atau lebih buruk melakukan jenayah.
"Saya tengok memang agak sukar untuk penduduk terutamanya golongan anak muda di sini dapatkan pekerjaan. Jadi, saya harap wakil rakyat baharu akan ambil serius perkara ini," katanya.
Bagi Hasniza Hassan, 37, beliau mahu wakil rakyat baharu ini mengekalkan sikap turun padang dan mendengar masalah mereka sepertimana dilakukan dalam tempoh kempen yang lalu.
Katanya, cara itu terbukti dapat menyelesaikan isu berkaitan rakyat sepertimana masalah air, bekalan elektrik dan banjir yang dibangkitkan sebelum ini.
"Bila kita ada wakil rakyat yang senang nak jumpa, bolehlah kita ajukan masalah yang kita hadapi dengan mudah.
"Kita tak mahulah mereka ini hanya bersemangat jumpa penduduk sana sini ketika kempen sahaja, tetapi bila dah menang, terus hilang," katanya.
Keputusan PRK DUN Slim semalam menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 10,945 undi.
Calonnya, Mohd Zaidi Aziz, 43, memperoleh 13,060 undi dalam pertandingan tiga penjuru bersama dua calon Bebas.
Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang menggunakan lambang pokok dan mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 2,115 undi manakala bekas guru, S Santharasekaran, 44, dengan lambang buku memperoleh 276 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!