Suntik personaliti ibadurrahman kepada umat manusia

Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail
Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia #QuranHour 1442H/2020 dengan tema 'Malaysia Harmoni: Bina 12 personaliti ibadurrahman' anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) diadakan serentak di seluruh Malaysia dan luar negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63, pada jam 12 hingga 1 tengah hari tadi.

Istimewanya, penganjuran Malaysia #QuranHour yang masuk tahun ke-enam kali ini adalah ketika negara berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, pengisian Malaysia #QuranHour tahun ini diharapkan dapat membina diri, keluarga, komuniti, organisasi dan negara prihatin yang lahir daripada personaliti ibadurrahman dengan berpandukan surah Al-Furqan, 25, ayat 63 hingga 77.

Menurutnya, ibadurrahman membawa maksud hamba ALLAH yang Maha Penyayang yang menyedari kedudukannya di hadapan ALLAH SWT dan menjaga hubungannya sesama makhluk.

"Personaliti ibadurrahman adalah gambaran akhlak umat Rasulullah SAW yang mencapai kemuliaan di sisi ALLAH SWT.

"Seorang hamba kepada Ar-Rahman melahirkan tindakan yang mengharmonikan sekitarnya dengan menyebarkan salam, memberi makan, menyambung silaturahim dan bersolat malam ketika orang lain sedang tidur sebagai sumber kekuatan diri," katanya pada program itu.

Marhaini (kanan) dan Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub ditemu bual personaliti TV Alhijrah, Widad Hanan di Studio TV Alhijrah, Kuala Lumpur. -Foto ROSLI TALIB
Marhaini (kanan) dan Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub ditemu bual personaliti TV Alhijrah, Widad Hanan di Studio TV Alhijrah, Kuala Lumpur. -Foto ROSLI TALIB

Program sejam berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal itu bersiaran secara langsung dari Studio TV Alhijrah dan ditayangkan di Astro Oasis dan Bernama TV selain di platform digital, Sinar Harian dan Ideaktif.

Artikel Berkaitan:

Program yang dicetuskan WUIF di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut bekerjasama dengan rakan strategik, Pusat Pelancongan Islam (ITC), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Malaysia dan Rumah Ngaji.

Turut memberi sokongan daripada rakan sinergi media adalah TV Alhijrah, Astro Awani & Astro Oasis, Zayan FM Kumpulan Media Prima (TV3 & TV9), RTM (TV1, TV2), Bernama, Bernama News Channel (BNC), TVIkim & IKIMfm, Media Jakim, Utusan Malaysia, Kosmo, NSTP Group (New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro), Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd (Sinar Harian, Sinar Online dan Sinar TV) dan DenaiHati Network.

Marhaini berkata, panduan al-Quran dan Sunnah berupaya memaknai kemerdekaan jiwa yang sebenar, serta membentuk diri, keluarga, masyarakat, organisasi dan negara yang harmoni.

Jelasnya, usaha kempen pengukuhan al-Quran sejam sehari dalam setiap individu, diharapkan dalam merealisasikan 'MengQurankan Bangsa, MengIkhlaskan Ummah', seterusnya menjadikan negara merdeka yang makmur dan dirahmati ALLAH SWT menjelang 1500H.

Mengulas lanjut, Marhaini berkata, orang ramai juga dapat menyertai Malaysia #QuranHour yang bersiaran secara langsung di saluran televisyen terpilih bersama keluarga di lokasi masing-masing.

Menurutnya, ia supaya dapat mencetuskan perubahan dalam diri dan keluarga untuk sejam bersama al-Quran setiap hari secara berterusan selepas program tersebut.

“Bersama kita menggemakan surah Al-Fatihah, Ar-Rahman, Surah Al-Furqan yang menjadi surah pilihan Malaysia #QuranHour tahun ini dalam membina 12 personaliti ibadurrahman dalam mencapai negara merdeka yang harmoni. Kelainan kali ini, ada Tadabbur bil Hadis, iaitu pengisian tadabbur hadis pilihan.

“Inilah masa kita memerdekakan diri dengan al-Quran dengan kembali kepada kebenaran, sedangkan teori yang lain gagal. Kita perlukan ‘campur tangan’ ALLAH dalam menjalani dan menguruskan kehidupan dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan.

“Mana-mana pihak yang menganjurkan Malaysia #QuranHour di seluruh negara diharapkan dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi pencegahan wabak Covid-19,” katanya.

Katanya, selain itu, orang ramai dialu-alukan untuk meneruskan usaha menimba ilmu al-Quran melalui baca, faham dan amal dengan mengikuti My #QuranTime yang bersiaran di TV Alhijrah sejam setiap hari.

Bermula kelmarin (28 Ogos) sehingga hari ini, ramai kalangan penggerak Rumah Ngaji di seluruh negara bersama rakan sinergi menganjurkan Malaysia #QuranHour di lokasi masing-masing, termasuk Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Pahang.

Ada juga kalangan pihak organisasi melaksanakan Malaysia #QuranHour lebih awal di lokasi masing-masing agar bersama memanfaatkan program kerohanian berkenaan.

Antaranya adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Jabatan Arah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) mengadakan Malaysia #QuranHour di Masjid Wilayah Khalid Al-Walid MINDEF, Kuala Lumpur kelmarin (28 Ogos).

Pada hari yang sama, Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam turut mengadakan program tersebut bersama warga sekolah seawal jam 7.40 hingga 8.40 pagi.

Acara Malaysia #QuranHour 2020/1442H yang bersiaran di stesen TV dan platform digital hari ini dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, 1: 1-7, Surah Ar-Rahman, 55: 1-5 dan Surah Al-Furqan, 25: 63-77, yang dibimbing oleh Qari Ustaz Ahmad Tirmizi Ali.

Timbalan Pengarah (Akademik dan Pentadbiran), Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Sanusi Azmi.
Timbalan Pengarah (Akademik dan Pentadbiran), Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Sesi tadabbur empat nikmat utama (Surah Ar-Rahman) dan 12 personaliti ibadurrahman (Surah Ar-Rahman) pula dibawakan oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.

Keistimewaan program berinteraksi dengan al-Quran kali ini juga ada pengisian Tadabbur bil Hadis oleh Timbalan Pengarah (Akademik dan Pentadbiran), Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Beliau berkongsi hadis Rasulullah SAW mengenai empat tindakan ketika berhijrah di Madinah dalam sesi Tadabbur bil Hadis. Bacaan doa ibadurrahman dalam Surah Al-Furqan, 25: 74 menjadi penutup program berinteraksi al-Quran hari ini.

Sementara itu, Marhaini berkata, buku elektronik (ebook) '40 Hari Islah: Ke arah membina 12 Personaliti Ibadurrahman' telah dilancarkan pada 22 Julai lalu agar momentum perubahan diri dapat dilakukan setiap hari.

"Usaha ini merupakan inisiatif agar kita pasakkan iltizam untuk menjadi ibadurrahman yang akan memacu transformasi peradaban dunia bermula dengan diri, keluarga, organisasi dan komuniti yang akhirnya menjadi asas kepada terbinanya sebuah tamadun umat dan negara yang berbudi dan penyayang di bawah naungan keredaan ALLAH.

"Bersempena Malaysia #QuranHour 2020/1441H, WUIF turut kongsikan bahan bagi penghayatan al-Quran dari Surah Ar-Rahman, Surah Al-Furqan serta buku elektronik (ebook) '40 Hari Islah: Ke arah membina 12 Personaliti Ibadurrahman'," katanya.

Program sejam berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal itu bersiaran secara langsung dari Studio TV Alhijrah.
Program sejam berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal itu bersiaran secara langsung dari Studio TV Alhijrah.

Katanya, orang ramai boleh dapatkan bahan tersebut secara percuma di https://bit.ly/BAHANMQH2020.

Tambah beliau, buku panduan untuk 40 hari itu sebagai pencetus motivasi diri menjadi ibadurrahman dengan berpandukan Surah Al-Furqan ayat 63 hingga 77.

"Pembaca boleh merefleksi diri dengan bermuhasabah dan menulis bagi menguatkan semangat dan mencapai cita-cita menjadi hamba ALLAH Ar-Rahman," katanya.

Dalam perkembangan sama, terdahulu ketika tampil pada program Facebooklive Malaysia #QuranHour bersama Widad Hanan, Marhaini berkata, seiring dengan tema sambutan Hari Kebangsaan kali ini 'Malaysia Prihatin', ciri-ciri rakyat Malaysia yang prihatin mahu dibawa melalui personaliti ibadurrahman.

"Akhirnya kita nak ia jadi momentum untuk kita lahirkan remaja, ibu dan ayah ibadurrahman.

"Macam mana kita nak lahirkan 'Malaysia Prihatin' atau 'Malaysia Harmoni' tanpa keharmonian itu diwujudkan dalam keluarga dan pastinya (kita kena wujudkan bermula) dari diri kita sendiri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!