AKSB diiktiraf Malaysia Book of Records
KOTA BHARU – Air Kelantan Sdn Bhd mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Books of Record (MBOR) sebagai Largest Groundwater Operator selari dengan Kelantan sebagai pengguna terbesar sumber air bawah tanah di Malaysia.
Ketua jabatan Pengurusan Operasi AKSB, Mohd Safrurazi Salleh berkata, sejak 1999, AKSB menggunakan lebih 80 telaga tiub sebagai sumber air mentah yang kemudiannya diproses di loji-loji untuk dibekalkan sebagai air bersih kepada rakyat di jajahan Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan sebahagiannya Pasir Mas.
“Pada ketika itu, penggunaan sumber air bawah tanah untuk bekalan air bersih telah mencapai 60 peratus jumlah keseluruhan bekalan air bersih yang dikeluarkan dari loji seluruh Kelantan.
“Teknologi penggunaan air bawah tanah AKSB seterusnya dipertingkatkan dengan penggunaan telaga jejari atau dikenali sebagai ‘Horinzontal Collector Well (HCW) yang dapat mengeluarkan air mentah yang jauh lebih banyak dari kaedah telaga tiub,”katanya kepada media di sini.
Beliau ditemui di Persidangan dan pameran Malaysia Water Engineers Action Committee kali ke-3 yang bertema Land Use Developement and Climate Changes: The Sustainable Adaption Option di Hotel Grandriver View di sini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Utiliti, Azami Mohd Nor bagi mewakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Pengurus Besar AKSB, Ir Wan Mohd Zamri Wan Ismail.
Sijil pengiktirafan tersebut disampaikan wakil MBOR, Edwin Yeoh kepada Wan Mohd Zamri Wan Ismail ketika majlis perasmian persidangan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!