Sektor pelancongan Melaka pulih 90 peratus
MELAKA TENGAH - Sektor pelancongan Melaka yang terjejas akibat wabak Covid-19 kini kembali pulih hampir 90 peratus dengan kemasukan kira-kira 8,000 pelancong terutamanya pada cuti hujung minggu dan cuti umum.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, bilangan pelancong itu diambil kira sejak perjalanan rentas negeri dibenarkan pada 10 Jun lalu dan jumlah tersebut melebihi sasaran 3,000 pelancong.
Menurutnya, meskipun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan dilanjutkan sehingga 31 Disember ini, namun kerajaan negeri akan terus mengatur strategi menarik pengunjung bagi memastikan sasaran 5.6 juta pelancong dapat dicapai menjelang akhir tahun ini.
"Peningkatan jumlah pelancong merupakan satu khabar gembira buat kerajaan negeri yang sedang berusaha keras memulihkan industri ini yang merupakan antara penyumbang utama ekonomi negeri dan subsektor kulinari dilihat antara faktor utama kemasukan pelancong ke Melaka.
"Kita akan menambah baik pakej pelancongan sedia ada selain memperkenalkan pakej percutian dengan menggunakan 13 subsektor pelancongan supaya pengunjung tidak bosan untuk datang ke negeri ini," katanya kepada media selepas Program Voluntourism Semarak Pelancongan, Seni dan Budaya di sini hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang turut melancarkan Buku Himpunan Kuih-Muih Tradisional Etnik Melaka terbitan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).
Buku itu mengandungi 112 resipi kuih daripada pelbagai etnik di Melaka antaranya Melayu, Portugis, Baba Nyonya dan Chetti hasil daripada penganjuran Festival Masakan Warisan Melaka yang diadakan Perzim sejak 2004 sehingga 2020.
Sementara itu, Sulaiman berkata, majlis seumpama itu akan dijadikan program tahunan menjelang sambutan Ambang Kemerdekaan di samping memartabatkan budaya dan warisan negeri ini untuk generasi akan datang selain menarik pelancong.
"Program budaya seperti ini dilihat mampu memberi pendedahan kepada golongan muda untuk mempelajari dan menghargai warisan berzaman sekali gus menarik pelancong untuk melihat sendiri keunikan makanan yang terdapat di negeri ini," katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!