Usaha ubah sistem kehidupan berlandaskan al-Quran
KUALA LUMPUR - Kempen Malaysia #QuranHour dan World #QuranHour menyasarkan objektif mewujudkan kesedaran dalam kalangan umat Islam supaya mengubah sistem operasi hidup masing-masing kepada sistem operasi yang berasaskan al-Quran serta sunnah.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, bagi menukar sistem operasi itu, umat Islam terlebih dahulu perlu membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran.
Justeru, beliau berkata, kempen tersebut dianjurkan supaya umat Islam berinteraksi dengan al-Quran.
"Alhamdulillah sudah enam tahun dianjurkan dan ketika kami (WUIF) mula kempen dulu, lahir banyak Rumah Ngaji di seluruh negara dan tempat lain.
"Di tahun keenam ini, kami mula ubah strategi dengan menyiarkan di televisyen melalui Malaysia #QuranHour dan Malaysia QuranTime (sekarang dipanggil My #QuranTime).
"Jadi kita hendak biasakan setiap rumah menjadi Rumah Ngaji dengan mengikuti program ini di siaran televisyen dan platform media digital," ujarnya dalam temu bual sempena Malaysia #QuranHour di TV Alhijrah di sini.
Pengerusi Lembaga Pengarah Karangkraf merangkap Penerbit Sinar Harian itu berkata, setiap rumah dapat memperuntukkan masa sekurang-kurangnya satu jam setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari bagi mengikuti program kempen tersebut.
Menurutnya, WUIF berharap ia akan terus menjadi satu budaya memandangkan program itu sudah empat bulan diadakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan akibat pandemik wabak koronavirus (Covid-19).
"Alhamdulillah dengan 'dibantu' oleh Covid-19 ini dan PKP, perkara itu sudah jadi budaya.
"Ramai rakyat, kira-kira ratusan ribu rumah di Malaysia sudah ada budaya, mereka duduk depan televisyen untuk belajar, baca al-Quran dengan tartil dan memahami melalui proses tadabbur.
"Tahun keenam ini, format Malaysia #QuranHour juga kita ubah. Dulu kita buat program di masjid, pejabat, universiti dan di mana-mana sahaja tapi sekarang kita buat dalam studio televisyen supaya sampai ke setiap rumah," katanya.
Hussamuddin berkata, teknologi mempermudahkan kempen tersebut apabila pembelajaran membaca al-Quran dan kursus berkaitan semakin rancak diadakan di media sosial.
Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan kempen berkenaan sudah mencapai objektif disasarkan.
Mengenai program My #Qurantime yang disiarkan di TV Alhijrah sepanjang PKP, beliau berkata, siaran itu mendapat tontonan lebih satu juta penonton.
"Itu di TV Alhijrah, tapi kalau kita tengok di media sosial, ramai orang yang kongsi termasuk di platform media sosial Sinar Harian.
"Program wakaf al-Quran yang kita jalankan melalui kempen ini. Kita mendapat infak daripada seluruh dunia seperti Jerman, Switzerland, Singapura, Australia dan banyak lagi.
"Maknanya sekarang, sekurang-kurangnya orang Islam di luar negara suda ketagih (dengan al-Quran), ini kejayaan tahap pertama," kata Hussamuddin.
Katanya lagi, ia selari dengan hasrat WUIF yang mahu MengQurankan Bangsa Malaysia terlebih dahulu dalam Mengikhlaskan Ummah agar dapat diperluaskan ke seluruh dunia dalam pelbagai bahasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!