Remaja diserang kumpulan lelaki bersepana
BANTING - Seorang remaja parah dibelasah sekumpulan lelaki bersenjatakan sepana di Pantai Kelanang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, mangsa berusia 18 tahun yang menunggang motosikal bersama rakannya ke Pantai Kelanang tiba-tiba telah dihalang sekumpulan lelaki dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu.
Menurutnya, berlaku pertengkaran mulut di antara mereka sebelum mangsa dipukul beramai-ramai dengan sepana dan topi keledar sehingga tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan di muka.
"Orang ramai yang melihat kejadian yang cuba membantu turut dipukul," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Bagaimanapun katanya, kesemua suspek melarikan diri selepas lebih ramai orang awam datang membantu.
Menurutnya, mangsa dikejarkan ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut dan usaha memburu suspek masih dijalankan.
"Suspek yang terlibat sudah dikenal pasti. Identiti beberapa lagi suspek lain masih dikesan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!