Maahad terbakar, 13 pelajar nyaris rentung
PEKAN - Tindakan pantas seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Waddin di Kampung Lepar Baru di sini mengejutkan 12 rakan sedang tidur berjaya menyelamatkan mereka daripada rentung dalam kejadian awal pagi tadi.
Pelajar berusia 16 tahun terbabit dikatakan tersedar daripada tidur selepas terhidu bau asap dan segera mengejutkan semua rakannya di asrama maahad dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu.
Timbalan mudir maahad itu, Mohamad Izzuddin Ismail berkata, kebakaran membabitkan bangunan satu tingkat di bangunan itu yang menempatkan asrama dan pejabat maahad itu.
"Jumlah kerugian masih belum diketahui dan antara yang musnah segala dokumen serta wang sumbangan yang diperoleh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
"Bagaimanapun saya bersyukur kerana kesemua pelajar dan kakitangan yang berada di asrama ketika itu selamat," katanya.
Menurutnya, maahad terbabit mempunyai 17 pelajar lelaki dan lima pengajar, namun ketika kejadian hanya 13 pelajar yang berada di asrama selain tenaga pengajar tersebut.
Dalam pada itu, bantuan boleh disalurkan ke akaun Maybank (556235314707) atas nama Maahad Tahfuz Al-Quran Waddin Ibadah Mukmin.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan dan Peramu bergegas ke lokasi selepas menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Menurutnya, api yang dipercayai bermula dari ruang pejabat dapat dikawal dalam tempoh 30 minit sebelum padam sepenuhnya pada jam 7.07 pagi
"Kebakaran memusnahkan 40 peratus bangunan satu tingkat itu dan punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan forensik bomba," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!