NGO, aktivis sokong cadangan naik bantuan JKM
SHAH ALAM - Badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivitis masyarakat rata-rata menyokong cadangan untuk menaikkan jumlah bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga RM1,000 kepada mereka yang berkelayakan.
Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia (CP), Kuan Chee Heng berkata, pihaknya amat terharu dengan pengumuman Perdana Menteri itu memandangkan jumlah pemberian bantuan berkenaan pada masa kini dilihat tidak mencukupi.
Beliau yang juga lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, penerima bantuan JKM perlu menggunakan banyak wang bagi membeli barangan keperluan mereka seperti ubat, lampin pakai buang, susu dan lain-lain lagi.
"Bayangkan, harga untuk membeli susu khas pun dah bernilai sekitar RM1,300 sebulan. Jadi pada saya pengumuman dibuat Perdana Menteri ini amat bertepatan dengan situasi masa kini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin usul bantuan JKM dinaikkan ke RM1,000
Semalam, Muhyiddin mengusulkan agar bantuan bulanan JKM yang pada masa ini berjumlah antara RM200 hingga RM300 dinaikkan sehingga RM1,000 kepada mereka yang berkelayakan.
Menurutnya, cadangan itu akan dikemukakan oleh beliau pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan.
Sementara itu, seorang aktivis masyarakat, P Saravenan berkata, dengan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini, pengumuman tersebut sedikit sebanyak dapat memberi nafas lega buat penerima-penerima bantuan bulanan tersebut.
"Ada di antara keluarga penerima bantuan JKM yang terjejas pendapatan sejak penularan Covid-19 ini, dan pengumuman tersebut pastinya dapat meringankan sedikit bebanan mereka," katanya.
Tambahnya, langkah untuk menaikkan jumlah bantuan berkenaan juga bertepatan memandangkan kos sara hidup rakyat semakin meningkat pada masa kini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!