Kuasa autonomi ujian bagi UMNO Sabah: Penganalisis politik

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Kuasa autonomi yang diberikan UMNO Pusat kepada UMNO Sabah merupakan ujian besar yang perlu diterjemahkan untuk menentukan hala tuju parti itu bagi memenuhi aspirasi rakyat pada pilihan raya negeri (PRN) ini, menurut penganalisis politik.

Menurut mereka, perkara paling penting adalah memberi kefahaman kepada rakyat tentang kuasa autonomi itu yang merupakan antara keistimewaan diberikan bagi memastikan pembangunan di Sabah adalah mengikut acuan sendiri.

Antara keistimewaan diberikan kepada UMNO Sabah di bawah kuasa autonomi berkenaan termasuk kuasa memilih calon sendiri dalam pilihan raya, menentukan siapa ketua menteri dan wakil rakyat yang perlu diberi jawatan jika menang pilihan raya serta pelbagai isu berkaitan hak dan kepentingan rakyat Sabah.

Kuasa autonomi berkenaan bertujuan ‘melokalkan’ UMNO di Sabah serta menepis tuduhan kononnya UMNO Sabah hanya ikut telunjuk UMNO Pusat sekali gus bagi mempertahankan kelangsungan UMNO di Sabah selepas hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata, kuasa autonomi UMNO Sabah bukanlah perkara mudah dalam konteks memberi kefahaman terutamanya kepada pengundi muda susulan PRN Sabah ke-16 merupakan yang pertama diharungi UMNO negeri sejak diberi kuasa autonomi itu

Beliau berkata, kepimpinan UMNO Sabah seharusnya memanfaatkan pemberian kuasa autonomi itu bagi menstruktur semula parti dengan mengetengahkan calon muka baharu pada PRN kali ini terutama di 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu.

Syahruddin yang merupakan pensyarah kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS berkata, cabaran-cabaran baharu dihadapi kini menuntut kepimpinan UMNO negeri menampilkan pemimpin muda berkredibiliti bagi menerajui perjuangan UMNO Sabah.

“Ada ramai dalam kalangan generasi muda UMNO Sabah yang boleh diberikan peluang, dan ini mungkin satu formula terbaik untuk UMNO Sabah untuk kembali berjuang di mata rakyat Sabah, yang suatu ketika dahulu pernah menikmati pembangunan hasil daripada perjuangan UMNO,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penganalisis politik dari UMS, Dr Ramli Dollah berpendapat, PRN Sabah bukan sahaja menguji pemberian kuasa autonomi seperti dijanjikan, tetapi juga bagaimana kepimpinan UMNO negeri mendepani dan sekali gus menentukan hala tuju UMNO dalam 'peperangan' PRN itu.

Dalam konteks ini, katanya, pemilihan calon bertanding pada pilihan raya, agihan kerusi, calon ketua menteri, wakil rakyat yang akan dipilih memegang jawatan dan hal-hal berkaitan seharusnya dirunding serta diputuskan secara teliti oleh kepimpinan UMNO Sabah.

Ini katanya bagi mengelak kemelut dalaman kepimpinan UMNO negeri seperti insiden kritikan terhadap pelantikan Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengetuai jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) dalam PRN Sabah yang didakwa tidak dibincang di peringkat kepimpinan UMNO negeri.

Bagaimanapun, Ramli berpendapat hal-hal berkaitan parti sepatutnya dibincangkan secara tertutup menggunakan saluran yang ada memandangkan UMNO adalah parti bersistem, selain ia juga sebagai sebuah parti politik besar dan mempunyai pengalaman luas dalam arena politik negara.

“Justeru, membincangkan masalah dalaman parti secara terbuka akan memberi kesan buruk kepada imej UMNO, selain memberi gambaran bahawa UMNO telah 'berperang' walaupun sebelum 'peperangan' sebenar berlaku dalam pilihan raya nanti”, jelasnya.

Apakah kuasa autonomi yang ‘mengurangkan keterikatan’ UMNO Sabah dengan UMNO pusat itu berupaya memikat rakyat pelbagai kaum dan agama di Sabah untuk terus mendukung parti itu, sekali gus memberi mandat sekali lagi kepada UMNO Sabah untuk mentadbir kerajaan negeri?- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!