Osman ada bertemu pemimpin PH
JOHOR BAHRU - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan mengesahkan bekas Menteri Besar Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian ada bertemu dengan pemimpin PH minggu lalu.
Aminolhuda yang juga ADUN Parit Yaani berkata, pertemuan itu disifatkan sebagai kelaziman biasa pemimpin bertemu sesama sendiri.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai tujuan pertemuan berkenaan diadakan.
"Ya, ada pertemuan pada minggu lepas. Biasalah orang politik berjumpa cerita politik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Kelmarin tular video dipercayai Osman menyokong calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu Pulai mahu Osman dikenakan tindakan disiplin
Aminolhuda berkata, sekiranya Osman dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memilih PH, situasi bertambah sukar apabila jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor adalah sama.
Situasi itu akan meletakkan jumlah kerusi diperoleh PH dan Perikatan Nasional (PN) adalah sama iaitu 28 kerusi.
Pada masa kini kerajaan PN yang mentadbir Johor mempunyai 29 kerusi berbanding PH 27 kerusi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!