Ahli MAH berkain batik agih Jalur Gemilang
KOTA BHARU - Ahli Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kelantan mencuri tumpuan apabila mereka berkain batik dan berkerudung mengagihkan Jalur Gemilang di Dataran Sultan Ismail di sini hari ini.
Program agihan 250 bendera bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah hari itu turut mendapat kerjasama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) bertujuan menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat sempena sambutan kemerdekaan.
Selain itu, mereka turut dibawa menaiki beca yang dihiasi dengan Jalur Gemilang mengelilingi kawasan berhadapan Padang Merdeka sambil melihat monumen sejarah di lokasi itu.
Timbalan Pengerusi MAH Kelantan, Gan Yeong Shuoh berkata, program itu diadakan bagi membina asas kukuh dalam membentuk perpaduan semua bangsa di negara ini.
Menurutnya, pemilihan tema pakaian tradisional dan lokasi agihan berhampiran lokasi memorial monumen kemerdekaan di Padang Merdeka bagi mengingatkan golongan muda agar tidak lupa asal usul dan bangsa.
“Kita perlu berbangga dengan identiti dan tunjukkan kekayaan budaya itu selain memelihara kawasan pelancongan ini yang mempunyai banyak binaan serta peninggalan sejarah yang perlu dijaga oleh semua.
“Monumen ini yang akan sentiasa mengingatkan kita tentang jati diri dan asal usul nenek moyang dahulu berkorban nyawa untuk mencapai keharmonian negara seperti dikecapi sekarang,” katanya.
Turut hadir dalam program berkenaan ialah Pengarah Royal Guest House, Raja Rusmin Raja Mahmud.
Sementara itu, Setiausaha Kemudi, Adila Sharinni Wahid berkata, sambutan kemerdekaan tahun ini dirasakan sedikit sentimental apabila negara diuji dengan ancaman pandemik koronavirus (Covid-19).
Katanya, ancaman Covid-19 di seluruh dunia ini tidak akan berjaya dikekang tanpa semangat dan perpaduan rakyat bersama-sama barisan hadapan terutama petugas kesihatan.
“Jangan juga lupa walaupun sudah 63 tahun merdeka, tidak bermakna tidak ada anasir luar yang cuba menceroboh negara kita.
"Maka setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan keselamatan khususnya bertugas di sempadan darat dan air seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang terus bergadai nyawa menjaga hasil laut dari dicuri serta memelihara tanah dan kedaulatan negara dari segala pencerobohan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!