Pemandu Camry putih sudah ditahan
KUANTAN - [DIKEMASKINI] Pemandu sebuah kereta jenis Toyota Camry berwarna putih yang menyebabkan kemalangan di laluan Karak menghala ke Kuala Lumpur, sekitar jam 3 petang hari ini sudah ditahan.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohd Daud berkata, pemandu kenderaan itu kini sedang disiasat oleh pihak polis.
"Pelaku berjaya ditangkap dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Petang tadi tular satu rakaman di media sosial apabila sebuah kereta jenis Toyota Camry berwarna putih bertindak melalui lorong kecemasan sehingga menyebabkan kemalangan kepada seorang penunggang dan pembonceng motosikal di laluan Karak menghala ke Kuala Lumpur.
Dua video berdurasi masing-masing seminit itu tular dengan meminta orang ramai menularkannya agar pelaku dapat dikesan dan diserahkan kepada pihak berkuasa.
Sebuah video mempamerkan tindakan pemandu Toyota Camry tersebut cuba memotong kenderaan dengan memasuki sebelah kiri laluan kecemasan sehingga menyebabkan kemalangan kepada motosikal yang datang dari arah belakang.
Sementara itu, sebuah lagi video mempamerkan berlaku kemalangan sehingga mengakibatkan penunggang dan pembonceng motosikal melambung ke atas jalan dan dilanggar pemandu kenderaan tersebut yang terus memecut kenderaannya.
Maklumat peribadi pemandu terbabit turut ditularkan orang ramai.
Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai identiti pemandu dan juga kecederaan yang dialami oleh penunggang dan pembonceng motosikal terbabit masih belum diperoleh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!