Johor Tigris mampu beri impak
KEHADIRAN Muhammad Faisal Mohd Fuad diyakini mampu memberi nilai tambah kepada kekuatan Johor Tigris dalam mengharungi saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2020 pada musim ini.
Menurut tonggak Tigris, Muhammad Noraizat Muhd Nordin, kehadiran pemain berusia 19 tahun dari Pulau Pinang akan memastikan wakil dari selatan tanah air itu mempunyai pilihan menurunkan variasi pemain dalam sesuatu perlawanan.
“Insya-ALLAH, kami optimis dengan kehadiran Muhammad Faisal akan memberi lebih suntikan semangat baharu kepada barisan pemain-pemain sedia ada dalam mengharungi saingan yang lebih mencabar dan sengit pada musim ini.
“Pengalaman Muhammad Faisal juga secara tidak langsung akan memantapkan lagi persiapan Johor Tigris dalam mengharungi saingan liga yang lebih terbuka kali ini.
“Kami pun sudah mula menjalani latihan intensif sejak awal bulan Ogos dalam memantapkan keserasian dalam kalangan pemain-pemain walaupun gandingan kami merupakan gandingan lama sebelum ini," katanya semasa majlis pelancaran jersi STL jenama Li Ning di sebuah kompleks beli-belah, di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Muhammad Noraizat, Johor Tigris yang tampil dengan status penyandang juara Champions Cup 2019 mensasarkan kedudukan kedua terbaik bagi saingan musim ini selepas melabuhkan saingan musim lalu pada kedudukan ketiga terbaik.
“Johor Tigris menjangkakan saingan sengit musim ini datangnya dari pasukan pilihan Kuala Lumpur Thunder yang diperkuatkan barisan pemain berpengalaman.
“Biarpun begitu kami akan memberi aksi terbaik dengan gandingan pemain-pemain berpengalaman sedia ada ditambah dengan kehadiran Muhammad Faisal,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!