Makam 100 tahun ditemui
MUAR - [DIKEMASKINI] Sebuah makam lama dipercayai berusia lebih 100 tahun menimbulkan tanda tanya apabila ia disyaki milik individu cukup berpengaruh di daerah ini suatu masa dahulu iaitu Almarhum Orang Kaya Junid Ibrahim.
Penemuan makam yang dibina berasaskan ukiran nisan tersendiri itu, ditemui seorang pengkaji sejarah bebas dan aktivis masyarakat, Mohd Azlan Mohd Sharif.
Ujar Azlan, penduduk di situ yakin makam berkenaan milik keturunan keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mengimbas kembali penemuan lokasi bersejarah di antara Jalan Meriam dan Jalan Majidi di sini, Azlan mendakwa, puluhan kubur lain turut ditemui di kawasan itu.
“Sebelum ini, kawasan kubur ini tak kelihatan sebab ditumbuhi semak-samun.
“Namun, kita baru sahaja mengesan kewujudan puluhan kubur lama ini apabila kerja pembersihan tanah wakaf dilaksanakan Majlis Agama Islam Johor (Maij).
“Saya sebenarnya tak tahu wujudnya makam dipercayai milik Orang Kaya Junid Haji Ibrahim kerana tujuan asal adalah nak menjejaki kubur Suleiman Datuk Bentara Luar yang meninggal dunia pada 1935 dan dipercayai bersemadi di sini,” katanya.
Masih mencari dalam catatan sejarah
Menurut beliau, sebaik menemui makam bersejarah itu, usaha mengkaji penemuan terbabit dilakukan.
“Saya juga bertanya kepada penduduk asal dan orang-orang lama di sekitar kawasan ini yang kebanyakan mereka percaya sebuah kubur berkepuk tinggi ini adalah milik arwah Orang Kaya Junid yang merupakan susur keluarga Datuk Seri Najib.
“Malah, jika kita merujuk peta di internet bersumber National Library of Australia bertarikh 1945, memang kawasan ini ditanda sebagai kubur.
“Cuma anehnya tidak direkod sama ada kubur Islam atau sebaliknya. Pada era itu, kubur utama adalah di Batu Satu Jalan Bakri yang dah ditutup sejak 2008,” katanya.
Beliau akui berasa sangat lega apabila longgokan kubur lama berjaya ditemui setelah kerja pembersihan memudahkan usaha menjejaki makam Datuk Bentara Luar di salah satu kubur di sini.
“Saya meninjau ke lapangan pada 10 Januari lalu dan lega kerana kawasan semak-samun telah dibersihkan. Namun kami berdepan masalah kerana tiada yang pakar membaca tulisan di batu nisan.
“Bagaimanapun kajian ini masih tidak jelas kerana kami gagal membuktikan pemilik nisan di tengah berkepuk tinggi milik Orang Kaya Junid dan sebuah lagi kubur di tepi pagar adalah milik Suleiman Datuk Bentara Luar.
“Sebenarnya banyak lagi tapak kubur yang saya kesan tetapi tidak dapat perhatian atas alasan tiada peruntukkan.
“Jadi besar harapan saya agar pihak Yayasan Warisan Johor atau Maij meneliti dan merekodkan pemilik setiap nisan di tapak wakaf ini,” katanya.
Beliau juga berharap agar Najib dapat meluangkan masa untuk melawat tapak makam di Jalan Meriam ini bagi mengesahkan sama ada kubur Orang Kaya Junid atau sebaliknya.
Mengikut sejarah, Orang Kaya Junid mentadbir Padang Muar dari 1862 sehingga meninggal dunia pada 1890.
Orang Kaya Junid juga adalah individu berpengaruh sehingga salah sebuah jalan di Bandar Maharani diabadikan kepada namanya iaitu Jalan Junid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!