Kanak-kanak maut dilanggar pacuan empat roda
DUNGUN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Cacar Baru di sini petang semalam.
Kejadian tersebut berlaku pada jam 2.53 petang semasa mangsa, Nur Aira Awatif Mohammad Fadzil keluar dari rumah keluarganya.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, ketika kejadian, sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm yang dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun dalam perjalanan dari tempat niaganya di Jalan Besar Paka menghala ke sebuah surau berhampiran.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa yang menunggang basikal dikatakan telah keluar dari pagar rumah secara mengejut.
“Pemandu tersebut bagaimanapun gagal mengelak lalu melanggar mangsa. Keluarga kanak-kanak itu kemudiannya membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Paka dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas tidak lama kemudian,” katanya.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!