Agrobank tidak lulus pembiayaan kebun durian haram
KUANTAN - Agrobank Wilayah Pahang tidak pernah meluluskan permohonan pembiayaan kewangan kepada mana-mana pekebun yang mengusahakan tanaman durian di atas tanah haram di Sungai Ruan dan Kampung Chalit, Raub.
Pengarahnya, Safaruddin Samsuddin berkata, ini kerana syarat utama bagi membuat pinjaman itu dengan mengemukakan geran tanah dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) terlebih dahulu.
Menurutnya, tanpa dokumen itu, pihaknya tidak akan meluluskan sebarang pinjaman kepada pemohon.
"Ramai pekebun durian musang king dan pekebun pinjaman lain membuat pinjaman dengan kita, tetapi kita akan pastikan mereka mengusahakan kebun di atas tanah sendiri atau yang disewa.
"Bagi pekebun yang mahu menyewa tanah, pihak terbabit perlu menyertakan surat kebenaran menyewa daripada pemilik tanah berkenaan. Sekiranya ada surat itu kelulusan akan dipertimbangkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis terima 9 laporan pengusaha kebun haram di Raub
Safaruddin berkata, Agrobank cawangan Sungai Ruan dan Kampung Chalit, Raub banyak menerima pelanggan dari kebun raja buah, kelapa sawit, koko dan pisang yang datang untuk membuat simpanan kewangan.
Katanya, pihaknya sentiasa memberi sokongan kepada pekebun yang ingin membuat pembiayaan namun mereka perlu memenuhi syarat yang ditetapkan terutama membabitkan hak milik tanah.
"Kita tidak akan meluluskan pembiayaan pekebun yang ingin mengusahakan kebun durian musang king termasuk projek pertanian lain di atas tanah kerajaan dan hutan simpan," katanya.
Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan dan kawasan hutan simpan.
Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram dan kawasan hutan simpan.
Antara kawasan dusun durian terkenal di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.
Pada Jumaat lalu, seramai 111 pekebun durian di atas tanah haram dan kawasan hutan simpan berjaya mendapatkan Perintah Pergantungan Sementara oleh Mahkamah Tinggi Kuantan terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan di beberapa lokasi di sekitar Raub.
Mahkamah tiada bantahan dan membenarkan pergantungan notis yang dikeluarkan responden sehingga tarikh pendengaran semula permohonan dijadualkan pada 28 Oktober depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!