Sindiket ah long tumpas
JOHOR BAHRU - Polis berjaya menumpaskan sindiket ah long yang menjadikan peminjam sebagai 'pekerja mereka' untuk menyimbah cat merah, menconteng dan membaling molotov cocktail di rumah peminjam lain yang gagal melunaskan hutang dalam serbuan pada 15 hingga 23 Ogos lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket ah long itu mempunyai rangkaian di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, sindiket tersebut yang dipercayai bekerjasama dengan ah long di Singapura menyasarkan pekerja Malaysia di Singapura dan segala urusan mereka dilakukan menerusi dalam talian dengan semua urusan dilakukan secara transaksi.
"Hutang mereka akan dipotong selepas melakukan kerja-kerja yang disuruh sindiket ah long.
"Seramai 12 individu ditangkap dalam beberapa serbuan sekitar Johor Bahru, Batu Pahat, Selangor dan Kuala Lumpur," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, dalam serbuan pertama pada 15 Ogos, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor menangkap seorang lelaki di sebuah apartmen di Kepong dan serbuan kedua menahan tujuh lelaki di Pusat Perdagangan Danga Utama, Tampoi di sini.
Katanya, serbuan ketiga pada hari yang sama menahan seorang lelaki di Kampung Sungai Suloh, Batu Pahat manakala pada 22 Ogos menerusi serbuan keempat tiga suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Skudai dan Johor Jaya.
"Semua 12 suspek ini berumur 23 hingga 46 tahun. Kita turut merampas 43 keping simkad telefon bimbit, semakan mendapati nombor yang digunakan ada terlibat dengan kes di Selangor, Perak, Kedah, Kuala Lumpur, Sarawak, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sabah.
"Mereka membeli simkad ini secara pukal dan tiada pendaftaran di kedai untuk digunakan dalam kegiatan ini. Kita akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam hal ini," katanya.
Beliau berkata, turut dirampas 14 unit komputer riba, 52 telefon bimbit pelbagai jenis, lima kenderaan, lima unit external hardisk, empat plastik lut sinar berisi cat merah, dua botol berisi 1.5 liter cat merah dan satu unit pemprosesan pusat (CPU).
"Semua suspek disiasat di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang mendatangkan bencana di bawah Seksyen 427, 435 dan 436 Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!