Segera hubungi bank untuk lanjutkan moratorium
SHAH ALAM - Kementerian Kewangan menggesa orang ramai yang mahu melanjutkan moratorium bayaran balik pembiayaan yang berakhir secara automatik pada 30 September ini supaya berhubung dengan pihak bank dengan segera.
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, ia penting terutama bagi peminjam yang masih memerlukan bantuan pasca moratorium untuk mengelakkan rekod kredit menjadi buruk selepas tempoh itu berakhir.
Menurutnya, hasil pertemuan saya dengan wakil-wakil bank tempoh hari, beliau dimaklumkan bahawa bank-bank sudah bersedia untuk memberi bantuan dan memproses permohonan orang ramai.
"Bagaimanapun, respons yang diterima masih belum seperti yang diharapkan. Saya bimbang sekiranya orang ramai dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menunggu sehingga ke saat akhir untuk memulakan rundingan dan memohon.
“Orang ramai dan PKS harus ingat bahawa bank memerlukan masa untuk memproses permohonan yang secara umum mengambil masa satu hingga lima untuk pelanggan individu, manakala tiga hari hingga dua minggu bagi PKS” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Shahar bagaimanapun berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana fleksibiliti yang diberikan kepada peminjam sepanjang tempoh itu tidak akan dimasukkan dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam.
Menurutnya, semua bank juga telah berkongsi maklumat dan perincian mengenai langkah tersebut di laman sesawang mereka.
Setakat 21 Ogos lalu, katanya, pihak bank telah menghubungi kira-kira 1,015,848 peminjam yang merangkumi 908,773 individu dan 94,685 PKS serta 12,390 syarikat lain-lain termasuk perniagaan korporat dan komersial.
“Kebanyakan bank telah melaksanakan program lanjutan moratorium bersasar dan fleksibiliti pembayaran balik pembiayaan mulai 7 Ogos lalu.
“Dalam tempoh dua minggu bermula 7 Ogos lalu, sebanyak 139,424 bantuan bayaran balik pembiayaan untuk pelanggan individu telah diterima dengan 109,172 daripadanya telah mendapat kelulusan.
“Bagi pelanggan PKS termasuk usahawan mikro pula, sebanyak 5,017 permohonan diterima dan 4,300 daripadanya diluluskan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!