Pejuang buka 'borang tunjuk minat' untuk pra keahlian parti
KUALA LUMPUR - Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) berhasrat membuka satu 'Borang Tunjuk Minat' secara dalam talian bagi mengumpulkan butiran pemohon yang berminat menyertai parti itu sebagai ahli pada masa depan.
Presiden penajanya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, setakat ini pihak Urusetia Penubuhan Pejuang memaklumkan tiada borang permohonan menjadi ahli diedarkan bagi mematuhi peraturan Jabatan Pertubuhan Pendaftar (ROS) yang sedang memproses pendaftaran Pejuang.
Bagaimanapun katanya, 'Borang Tunjuk Minat' akan mengumpul butiran pemohon kerana ramai yang berminat untuk menyertai Pejuang.
"Setelah parti didaftar secara rasmi, butiran itu akan diambil kira sebagai permohonan menjadi ahli parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mukhriz turut mengingatkan borang lain yang tidak dikeluarkan Urusetia Penubuhan Pejuang tidak diiktiraf sebagai borang rasmi.
"Semua yang berminat menjadi ahli Pejuang diminta hanya berurusan secara langsung dengan Urusetia Penubuhan dan menantikan borang dalam talian yang akan disiarkan dalam tempoh terdekat ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pejuang serah permohonan pendaftaran kepada RoS
Pada 19 Ogos lalu, tujuh pengasas Pejuang diketuai Mukhriz sendiri hadir ke Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk mengemukakan permohonan rasmi mendaftarkan parti itu.
Turut hadir Mukhriz yang menyerahkan borang permohonan berkenaan kepada Ketua Pengarah RoS, Masyati Abang Ibrahim, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya; Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Ketua Bahagian Bersatu Alor Setar, Datuk Mohamad Nuhairi Ahmad.
Pada 7 Ogos lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti baharu yang akan berasaskan kepada perjuangan Melayu.
Pada Mei lalu, Dr Mahathir dan empat lagi individu digugurkan keahlian mereka daripada Bersatu dengan alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat, 18 Mei lalu.
Mereka ialah Mukhriz, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!