Tiga didenda RM19,000 pindah 27 lembu tanpa kebenaran
PASIR MAS - Tiga lelaki didenda RM19,000 oleh Mahkamah Majistret Pasir Mas hari ini selepas mengaku bersalah secara berasingan memindahkan 27 lembu tanpa kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan pada 9 Mei dan 30 Jun lalu.
Keputusan dibuat Majistret Muhammad Yusof Abdullah terhadap Muhamad Noraswadi Mohamad Nor dan Mohd Nizam Abdullah masing-masing 30 tahun serta Mat Ghani Awang Ngah, 57.
Berdasarkan pertuduhan, Muhamad Noraswadi didakwa memindahkan 17 lembu menggunakan lori jenis Isuzu tanpa kebenaran di tepi jalan di kawasan Bukit Tandak, Rantau Panjang pada jam 8 malam 9 Mei lalu.
Dia didenda RM10,000 atau tujuh bulan penjara jika gagal menjelaskannya. Hasil wang jualan ternakan RM17,850 dilucuthak kepada kerajaan.
Mohd Nizam pula didakwa memindahkan lapan lembu di tepi jalan Rantau Panjang - Pasir Mas pada jam 4.30 petang, 30 Jun lalu.
Dia didenda RM 7,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda itu dan hasil wang jualan ternakan RM6,000 dilucuthak kepada kerajaan.
Mat Ghani pula didakwa memindahkan dua lembu di tepi Jalan Senor, Kampung Meranti, Pasir Mas pada jam 8 malam 30 Jun lalu.
Dia didenda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda dan hasil wang jualan ternakan RM 2,200 dilucuthak kepada kerajaan.
Terdahulu, kesemua tertuduh yang bekerja sendiri merayu denda dikurangkan, namun Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan, Mohd Sharif Sabran meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Ketiga-tiga tertuduh kemudian dibebaskan selepas membayar denda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!