Implikasi ketirisan perbelanjaan angkatan tentera

A
A
A

MEDIA Britain pada tahun lalu hebat mengkritik Kementerian Pertahanan negara itu (MoD) susulan satu laporan berhubung ketirisan perbelanjaan angkatan tentera sebanyak £113 juta (RM627 juta) termasuklah £15 juta bagi sistem simulator untuk pesawat tempur Tornado yang ditamatkan operasi.

Turut dibazirkan adalah perbelanjaan sebanyak £4 juta bagi tempahan perjalanan yang sebenarnya tidak digunakan manakala £12 juta lagi bagi perolehan pesawat udara kawalan jauh kegunaan unit artileri pertahanan udara.

Menerusi pendedahan yang dipetik daripada laporan akaun MoD, pihak tertinggi tentera Britain membazirkan peruntukan yang besar tetapi pada masa sama tetap menyuarakan kepada kerajaan tentang kekurangan anggota serta kelengkapan perang.

Dianggarkan kira-kira £38 bilion (RM210 bilion) diperuntukkan bagi keseluruhan perbelanjaan pertahanan negara itu untuk tahun 2018 dan 2019 termasuk bagi operasi, persaraan dan gaji.

Laporan berkenaan didedahkan beberapa hari selepas Perdana Menteri Boris Johnson memberi jaminan untuk membina kapal-kapal perang baharu serta meningkatkan belanjawan pertahanan berikutan kegagalan semasa berhadapan dengan krisis Iran di Selat Hormuz.

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) pada tahun 2018 juga berhadapan isu serupa apabila kehilangan dokumen perbelanjaan Agensi Logistik Pertahanan (DLA) berjumlah AS$800 juta (RM3.3 bilion).

Ia bagi projek pembinaan fasiliti tentera dan rangkaian sistem komputer. Pihak DLA mengakui perkara tersebut tetapi memberitahu ia tidak melibatkan isu ketelusan.

Projek Joint Strike Fighter (JSF) bagi membina pesawat pejuang masa hadapan paling hebat AS pula bertukar sebaliknya apabila menelan belanja melampau.

Artikel Berkaitan:

JSF berteknologi halimunan direka dengan kemampuan tempur yang tiada pada pesawat-pesawat pejuang lain serta dilengkapi sistem persenjataan terkini.

Malangnya, ada antara teknologi khusus yang dicipta untuk pesawat tersebut sudah ketinggalan sebelum digunakan. Sejak dibangunkan pada tahun 1996, projek JSF telah menelan belanja kira-kira AS$1.5 trilion.

Sebab itu, Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 baru-baru ini yang mendedahkan beberapa ketirisan dalam program perolehan beberapa kelengkapan pertahanan negara tidak wajar dipandang ringan terutama oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Kementerian Pertahanan (Mindef) dikatakan gagal mengutip denda lewat berjumlah RM116.54 juta yang dikenakan kepada syarikat akibat kelewatan menyerahkan kapal tempur pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia selama kira-kira lapan bulan.

Mindef juga terlebih bayar kepada syarikat berkenaan sebanyak RM910 juta atau 63 peratus kemajuan sedangkan kapal tersebut hanya siap 42 peratus.

Turut gagal dikutip adalah denda lewat ke atas pembekalan sistem pelancar peluru berpandu ringan berganda berjumlah RM15.04 juta.

Ini kerana 20 daripada 24 unit pelancar yang dipesan lewat tiba.

Begitu juga pembelian sembilan buah kenderaan armor bagi misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tidak mengikut spesifikasi. Perkara tersebut perlu dipatuhi sepertimana terkandung pada Manual Panduan Batalion Infantri PBB (UNIBAM).

Sebagai agensi yang bertanggungjawab menyelia kewangan negara, Jabatan Audit Negara melaksanakan pengauditan secara profesional berlandaskan standard antarabangsa.

Laporan Audit Negara ini merangkumi penilaian terhadap tujuan perolehan tersebut sama ada mencapai objektif atau tidak.

Kebiasaannya sebelum kementerian atau jabatan memohon peruntukan kewangan daripada kerajaan, pihak berkenaan akan menyatakan justifikasi untuk membeli peralatan atau perkhidmatan yang diperlukan.

Justeru, menjadi tanggungjawab Jabatan Audit Negara menilai semula sama ada pembelian atau hasil daripada tujuan perolehan daripada peruntukan kewangan tersebut menepati tujuannya.

Ini kerana kemampuan sesebuah angkatan tentera saling berkait rapat dengan aset atau rancangan perolehan yang dibangunkan.

Kegagalan merancang, melaksana dan menjayakan perkara tersebut dibimbangi akan mengundang implikasi lain untuk mempertahankan negara.

Ada antara teknologi khusus yang dicipta untuk pesawat tersebut sudah ketinggalan sebelum digunakan.”

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!