10 asas penting tentu hala tuju negara

Muhyiddin Yassin berucap pada Konyensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Dewan Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin Yassin berucap pada Konyensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Dewan Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, 10 asas penting dikenal pasti sebagai hala tuju Perikatan Nasional (PN) untuk tempoh akan datang termasuk meletakkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 sebagai paksi dasar dan program ekonominya.

Perdana Menteri berkata, selain itu, hala tuju ini turut merangkumi perhatian ke arah memulih dan merancakkan semula ekonomi negara pasca Covid-19 menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

"Kerajaan PN juga akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Agenda Bumiputera sebagai agenda nasional.

"Tumpuan juga akan diberikan kepada usaha pendigitalan Malaysia menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Jalinan Digital Negara (Jendela) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12," katanya berucap sebelum menutup Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di sini hari ini.

Konvensyen anjuran Pertubuhan Intelektual Negara itu turut dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan memberi fokus kepada jaminan makanan, usaha membanteras rasuah menerusi pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Nasional dan reformasi dalam sektor kesihatan.

Selain itu, katanya, asas penting lain yang dikenal pasti akan diberi keutamaan termasuk bidang pendidikan, aspek keselamatan dan ketenteraman awam serta perpaduan kaum dan keharmonian antara masyarakat berbilang agama.

"Saya terima jawatan Perdana Menteri dengan menggalas amanah rakyat di bahu saya. Saya bertanggungjawab kepada rakyat. Menteri-menteri yang saya lantik juga bertanggungjawab kepada rakyat. Jika kami gagal memikul amanah kepada rakyat dengan baik, kami akan dipersoalkan oleh rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu, kerajaan Perikatan Nasional sebaik saja dibentuk terus berfungsi sebagai kerajaan yang bekerja siang dan malam untuk membela rakyat. Kami tiada masa untuk berbulan madu sebagai kerajaan baharu," katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menyerahkan kepada rakyat untuk menilai prestasi PN selama enam bulan mentadbir negara.

"Ya, saya telah melakukan sebaik mungkin untuk melunaskan tanggungjawab saya kepada rakyat. Tetapi bukanlah hak saya untuk mengatakan sama ada saya telah melakukan yang terbaik. Rakyatlah yang paling berhak untuk menilai," katanya.

Dalam perkembangan lain, menyentuh mengenai pandemik Covid-19, beliau berkata, ekonomi negara semakin menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas hampir semua sektor ekonomi dibuka.

"Yang tak buka hanyalah kelab-kelab malam, pub, itu menurut saya kalau tak buka selama-lamanya pun tak apa (gurau). Kerana (di tempat itu) susah nak mengamalkan penjarakkan sosial," katanya berseloroh diikuti dengan gelak tawa hadirin. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!